KUALA LUMPUR 8 Julai – RAM Rating mengekalkan prospek stabil bagi sektor insurans dan takaful Malaysia kerana penampan modal kukuh dijangka terus menyerap dan menyokong daya tahan industri.
Menurut agensi penarafan itu, pertumbuhan perniagaan namun dijangka lebih perlahan dan pengendali perlu berdepan dengan tekanan kos tuntutan pelanggan serta ketidaktentuan pasaran kewangan.
Asas kredit sektor itu kekal kukuh dengan tahap permodalan tinggi mampu menangani kejutan tekanan terhadap pendapatan, khususnya bagi syarikat insurans hayat serta pengendali takaful keluarga.
"Pertumbuhan insurans hayat dan takaful keluarga dijangka kekal pada 2026 selepas sedikit susut pada 2025 berikutan tekanan kos sara hidup menjejaskan perbelanjaan pengguna," jelas RAM Rating.
Bagi segmen insurans am pula, pertumbuhan dijangka sederhana pada kadar antara 5% hingga 6% susulan jualan kenderaan yang kembali normal selepas tempoh pertumbuhan lebih tinggi sebelum ini.
Ujarnya, sebanyak 10 daripada 12 syarikat yang dinilainya, masih dapat mengekalkan prospek stabil, manakala satu kumpulan reinsurans am yang merangkumi dua entiti diberikan prospek positif.

Segmen insurans dan takaful perubatan serta kesihatan (MHIT) kekal menjadi antara aspek yang perlu diberi perhatian menjelang tamatnya langkah interim Bank Negara Malaysia (BNM) pada hujung 2026.
"Jika kos tuntutan terus naik, premium mungkin meningkat lebih ketara, serta menjadikan kejayaan pelaksanaan reformasi MHIT amat penting bagi meningkatkan ketelusan harga," tambah agensi itu.
Inisiatif utama melibatkan pelaksanaan projek perintis produk asas mampu milik pada bulan ini yang bertujuan mengawal kos penjagaan kesihatan dan memastikan penetapan premium secara lebih mampan.
RAM Rating turut menjangkakan pendigitalan proses tuntutan insurans kenderaan akan meningkatkan kecekapan pemprosesan tuntutan, ketepatan penetapan harga serta ketelusan segmen insurans am.
Sementara prestasi pelaburan akan terus menjadi pemacu utama keuntungan, terutama insurans hayat dan takaful keluarga, manakala situasi di Timur Tengah boleh meningkatkan kos pembaikan kenderaan.
"Dalam jangka panjang, kami menjangka usaha pendigitalan, pembaharuan kawal selia dan kemasukan pengendali baharu selepas tarikh akhir hujung 2026 memperluaskan penembusan pasaran," jelasnya.
Pada masa sama, RAM Rating menilai segmen takaful kekal menjadi pemacu pertumbuhan utama berasaskan ekosistem kewangan Islam Malaysia yang semakin kukuh. - DagangNews.com








