KUALA LUMPUR 8 Julai – JLand Group, platform hartanah dan infrastruktur milik Johor Corporation (JCorp) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama DHL Supply Chain Malaysia (DHL) bagi meneroka pembangunan logistik dan rantaian bekalan bersepadu di Ibrahim Technopolis (IBTEC), Johor.
Kerjasama itu bertujuan mengkaji peluang pembangunan kemudahan logistik moden bagi memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang dalam ekosistem IBTEC, termasuk sektor teknologi, pembuatan maju dan pusat data.
Menerusi MoU tersebut, kedua-dua pihak akan menilai kebolehlaksanaan pembangunan kemudahan logistik bina-untuk-sewa di kawasan berkenaan.
IBTEC ialah ekosistem industri dan inovasi bersepadu seluas 7,290 ekar yang dibangunkan oleh JLG dengan menggabungkan pembangunan pembuatan maju, logistik, inovasi, infrastruktur digital serta pembangunan bakat dalam satu kawasan strategik.
Kerjasama ini hadir ketika Johor semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pasaran pusat data yang berkembang pesat di Asia disokong peningkatan pelaburan daripada syarikat teknologi besar serta penyedia infrastruktur digital.
Seiring perkembangan itu, keperluan terhadap infrastruktur logistik khusus dijangka meningkat, terutama bagi menyokong operasi pusat data dan industri teknologi yang memerlukan pengurusan rantaian bekalan lebih cekap, termasuk penyimpanan, pengendalian serta penghantaran peralatan dan komponen bernilai tinggi.
Pengarah Urusan Kumpulan JLand Group, Datuk Sr. Akmal Ahmad berkata IBTEC dibangunkan sebagai sebuah ekosistem operasi yang menggabungkan infrastruktur, inovasi, logistik, bakat dan komuniti secara menyeluruh bagi mewujudkan persekitaran yang bersedia untuk pelaburan masa hadapan.
“Sedenak Tech Park (STeP) telah memberikan momentum kukuh kepada IBTEC dengan menunjukkan potensi apabila kesediaan infrastruktur, keyakinan pelabur dan kerjasama strategik digabungkan.
“Langkah seterusnya adalah memperkukuh momentum itu melalui Exclaim Discovery City dan meningkatkan bagaimana keseluruhan ekosistem ini berfungsi,” katanya dalam satu kenyataan.

STeP merupakan salah satu pembangunan teknologi dalam ekosistem IBTEC yang menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri digital dan pelaburan teknologi di kawasan tersebut, manakala Exclaim Discovery City pula merupakan komponen pembangunan yang menyokong pembentukan ekosistem bandar serta inovasi dalam IBTEC.
Sementara itu, Pengarah Urusan DHL Supply Chain Malaysia, Mario Lorenz berkata Johor kini muncul sebagai hab teknologi dan pusat data yang semakin penting di Asia, sekali gus membuka peluang baharu untuk pembangunan penyelesaian logistik yang lebih khusus.
Beliau berkata, menerusi kerjasama bersama JLG, DHL akan meneroka bagaimana infrastruktur logistik boleh berkembang seiring keperluan syarikat teknologi besar, pengendali pusat data dan pemain industri berkaitan.
“Penglibatan lebih awal dalam pembangunan IBTEC juga membolehkan DHL menyokong pertumbuhan pelanggan masa hadapan serta memperkukuh keupayaan logistik pusat data di Malaysia,” katanya.
Di bawah MoU berkenaan, DHL akan menyumbang kepakaran melalui maklumat pasaran, akses kepada pelanggan, penilaian permintaan serta input teknikal berkaitan spesifikasi gudang dan penyelesaian logistik.
JLG pula akan menggunakan pandangan tersebut bagi merangka strategi pembangunan tapak, platform penglibatan pelabur serta peluang pembangunan mengikut keperluan pelanggan.
Kerjasama itu dijangka membantu mempercepat perancangan pembangunan logistik di IBTEC menerusi penyelarasan lebih baik dengan keperluan pasaran, selain memperkukuh kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan strategik serantau.
Sebagai platform hartanah dan infrastruktur JCorp, JLG kini memberi tumpuan kepada empat bidang strategik iaitu pembangunan hartanah, penyelesaian komuniti bersepadu, pelaburan hartanah serta perkhidmatan sumber luar bagi menyokong pertumbuhan industri dan transformasi digital.- DagangNews.com








