Malaysia cipta sejarah jadi tuan rumah Kongres Penerbit Antarabangsa buat kali pertama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia cipta sejarah jadi tuan rumah Kongres Penerbit Antarabangsa buat kali pertama

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 8 Julai – Malaysia mencipta sejarah apabila menjadi tuan rumah Kongres Penerbit Antarabangsa Ke-35 (IPA Congress 2026), kali pertama acara berprestij itu diadakan di negara ini sejak diperkenalkan 130 tahun lalu.

 

Berlangsung dari 5 hingga 9 Julai dengan tema |Publishing Intelligence, Sustaining Forward", kongres itu menghimpunkan lebih 500 penerbit, pakar hak cipta, penulis, penggubal dasar, pemimpin teknologi dan pemain industri dari lebih 80 negara bagi membincangkan masa depan industri penerbitan dalam era kecerdasan buatan (AI), transformasi digital dan perubahan corak pembacaan pengguna.

 

Dianjurkan oleh Persatuan Penerbit Antarabangsa (IPA) dan dihoskan oleh Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), dengan Perbadanan Kota Buku dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai rakan strategik, penganjuran kongres itu mengukuhkan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab serantau bagi penerbitan, pembangunan harta intelek (IP) dan perdagangan hak penerbitan antarabangsa.

 

Presiden MABOPA, Sheikh Faisal Sheikh Mansor berkata, kejayaan Malaysia menjadi tuan rumah kongres itu mencerminkan kematangan serta pengiktirafan antarabangsa yang semakin kukuh terhadap industri penerbitan negara.

 

"Kongres Penerbit Antarabangsa bukan sekadar sebuah persidangan, sebaliknya merupakan perhimpunan paling berpengaruh dunia yang menghimpunkan penerbit dan pemain industri penerbitan.

 

"Penganjurannya di Malaysia membuka peluang luar biasa untuk mengukuhkan rangkaian antarabangsa, memperluaskan perdagangan hak penerbitan serta memperkenalkan kandungan tempatan ke pasaran global," katanya dalam satu kenyataan.


 

Presiden MABOPA, Sheikh Faisal Sheikh Mansor
Presiden MABOPA, Sheikh Faisal Sheikh Mansor

 

Perdagangan hak cipta jadi tumpuan

Satu daripada tumpuan utama sepanjang lima hari kongres ialah program padanan perniagaan dan perdagangan hak penerbitan yang membolehkan peserta mengadakan pertemuan khusus bagi menjalin kerjasama rentas sempadan, termasuk projek penterjemahan, pelesenan kandungan, penerbitan bersama serta pelaburan strategik merentasi rantaian nilai industri penerbitan.

 

Perbincangan sepanjang kongres turut memberi fokus kepada perlindungan hak cipta, penggunaan AI, penerbitan digital, kemampanan, penerbitan pendidikan, kebolehcapaian kandungan, teknologi penerbitan serta pembangunan kandungan kreatif pada masa hadapan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar berkata, kongres itu akan memperkukuh peranan Malaysia dalam membangunkan ekosistem penerbitan serantau di samping mewujudkan nilai jangka panjang kepada penerbit, penulis, penterjemah, penjual buku dan penggiat kandungan.

 

Beliau berkata, Kota Buku komited meletakkan Malaysia sebagai pusat serantau bagi inovasi penerbitan, perdagangan hak cipta dan pertukaran kandungan menerusi inisiatif seperti Asian Rights Fair (ARF), yang kini menjadi platform penting bagi urus niaga harta intelek serta pelesenan kandungan di rantau Asia.

 

Berlangsung serentak dengan kongres itu ialah Asian Rights Fair Edisi Khas yang berfungsi sebagai platform khusus bagi rundingan hak penerbitan dan jaringan komersial, sekali gus mengukuhkan hasrat Malaysia untuk muncul sebagai hab utama ASEAN dalam perdagangan hak cipta dan inovasi penerbitan.


 

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar
ADIBAH OMAR

 


Lonjak ekonomi kreatif negara

Kongres itu mendapat sokongan Kementerian Pendidikan, Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB), Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) serta pelbagai organisasi penerbitan tempatan dan antarabangsa, selain ditaja pemain industri termasuk Sharjah Book Authority, The London Book Fair, PTS Media Group, Pelangi Publishing, Sasbadi, BookXcess dan Canon.

 

Selain memperkukuh industri penerbitan negara, penganjur menjangkakan kongres itu akan memberi limpahan manfaat kepada ekonomi kreatif, pelancongan perniagaan, pertukaran ilmu di peringkat antarabangsa serta merangsang lebih banyak pelaburan rentas sempadan dalam industri penerbitan, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran penerbitan ASEAN. - DagangNews.com