Pekat menang 2 kontrak berjumlah RM47 juta kerja projek pusat data di Negeri Sembilan dan Johor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pekat menang 2 kontrak berjumlah RM47 juta kerja projek pusat data di Negeri Sembilan dan Johor

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 8 JulaiPekat Group Berhad terus mengukuhkan kedudukan dalam sektor infrastruktur digital negara apabila memperoleh dua lagi kontrak dengan nilai keseluruhan sebanyak RM46.94 juta.


Menurut kenyataan kumpulan tersebut, tender baharu berkenaan bagi pelaksanaan kerja-kerja sistem pembumian serta perlindungan kilat untuk projek pusat data (DC) di Negeri Sembilan dan Johor.


Perolehan terkini itu ujarnya, dijangka menyokong lagi pertumbuhan pendapatan kumpulan berkenaan sendiri seiring dengan peningkatan pesat pelaburan dalam pembangunan berkaitan DC di Malaysia.


"Kontrak pertama bernilai RM19.73 juta melibatkan pembekalan dan pemasangan sistem pembumian serta perlindungan kilat bagi sebuah DC berskala besar di Port Dickson, Negeri Sembilan," tambah Pekat.


Syarikat itu berkata, projek dijadualkan siap pada 30 Jun 2027, manakala kontrak kedua bernilai RM27.21 juta melibatkan skop kerja sama di Johor dan dijangka disiapkan pada 19 September 2027.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tai Yee Chee berkata, kejayaan pemerolehan kedua-dua kontrak tersebut mencerminkan keyakinan pelanggan terhadap kepakaran teknikal serta rekod prestasi baik syarikat.

 

Pekat_DagangNews2026

 

Beliau berkata, komponen keselamatan dipasang Pekat amat penting bagi DC memandangkan kemudahan tersebut menempatkan peralatan bernilai tinggi serta memerlukan operasi berterusan tanpa gangguan.

 

"Dua kontrak ini dijangka memberi sumbangan positif kepada prestasi kewangan bagi tahun kewangan semasa, tertakluk kepada kemajuan pelaksanaan projek serta faktor risiko operasi," jelas beliau.

 

Perolehan tender berkenaan turut mengukuhkan strategi pengembangan syarikat dalam rantaian bekalan DC dengan memanfaatkan kepakarannya dalam sistem perlindungan bekalan kuasa dan penjanaan tenaga.

 

Ujarnya, pertumbuhan pesat pelaburan dalam pengkomputeran awan dan infrastruktur digital terus mewujudkan peluang baharu kepada syarikat yang ada kepakaran penyediaan infrastruktur sokongan.

 

Sehubungan itu, Pekat akan terus memberi tumpuan kepada lebih banyak kontrak berkaitan DC bagi memperkukuh buku tempahan dan memanfaatkan perkembangan pesat infrastruktur digital. - DagangNews.com