MBSB Research: Kontrak baharu 2 projek pusat data tingkatkan buku tempahan Pekat cecah RM908 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MBSB Research: Kontrak baharu 2 projek pusat data tingkatkan buku tempahan Pekat cecah RM908 juta

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 9 Julai – Pemerolehan kontrak baharu dua projek pusat data (DC) bernilai RM46.9 juta melonjakkan buku tempahan Pekat Group Berhad kepada RM907.9 juta, menurut analisis MBSB Research.

 

Perkembangan itu mengukuhkan keterlihatan pendapatan syarikat di tengah-tengah permintaan tinggi terhadap infrastruktur tenaga dan DC, serta mencerminkan prospek pertumbuhan sihat secara mampan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, situasi didorong permintaan berterusan segmen solar berskala besar (LSS), sistem pembumian dan perlindungan kilat (ELP), serta peralatan voltan sederhana bagi DC.

 

"Justeru, kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap Pekat dan harga sasaran (TP) RM2.03 sesaham, berdasarkan pendapatan sesaham (EPS) unjuran pada FY27 sebanyak 8.1 sen," kata MBSB Research lagi.

 

Menurutnya, dua kontrak baharu itu melibatkan kerja pembekalan dan pemasangan sistem ELP bagi pembangunan DC di Negeri Sembilan dan Johor masing-masing bernilai RM19.7 juta dan RM27.2 juta.

 

Kemenangan kontrak tersebut ujarnya, meningkatkan buku tempahan terkumpul lebih RM900 juta, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan syarikat yang kukuh untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

 

Artikel berkaitan: Pekat menang 2 kontrak berjumlah RM47 juta kerja projek pusat data di Negeri Sembilan dan Johor

 

Pekat_DagangNews2026

 

Daripada jumlah itu kata MBSB Research, segmen EPE Switchgear kekal menjadi penyumbang terbesar dengan RM347.8 juta (38.3%), diikuti kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).

 

"Segmen tersebut menjana tender Pekat sebanyak RM308.3 juta atau 34%, manakala segmen ELP RM238.9 juta atau 26.3%, manakala segmen perdagangan menyumbang RM12.9 juta atau 1.4%," tambahnya lagi.

 

Firma penyelidikan itu menjangka prospek penambahan kontrak baharu kekal kukuh merentasi semua segmen perniagaan, dipacu projek LSS5+ dan pelaksanaan LSS6, selain sistem ELP untuk projek DC.

 

Pada masa sama ujar MBSB Research, anak syarikat Pekat, EPE Switchgear (M) Sdn Bhd, yang mengkhusus peralatan voltan sederhana, dijangka terus meraih manfaat daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB)

 

Sehubungan itu, ia mengekalkan unjuran hasil kerana kemenangan kontrak baharu adalah selaras dengan jangkaan, selain potensi cadangan pemindahan penyenaraian daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama.

 

"Permohonan pemindahan itu dikemukakan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 26 Jun 2026 dan dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan dalam jangka panjang," jelasnya. - DagangNews.com