KUALA LUMPUR 4 Sept — Gangguan perkapalan berterusan di Timur Tengah, dikhuatiri menjejaskan proses pemulihan pasaran aluminium global dan mempengaruhi pengeluar tempatan, kata RHB Research.
Firma penyelidikan itu menambah, konflik serantau yang kembali memuncak terutama di laluan Selat Hormuz, berpotensi memanjangkan tempoh pemulihan operasi pengeluar aluminium yang terjejas.
Antaranya pengurusan Press Metal Aluminium Holdings Berhad menjangkakan operasi aluminium di Timur Tengah memerlukan 12 bulan untuk disambung semula, namun tempoh itu boleh menjadi lebih lama.
"Konflik serantau masih berterusan dan gangguan penghantaran belum reda. Justeru, kami mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor bahan asas binaan," tambah RHB Research dalam analisisnya.
Press Metal dinamakan sebagai pilihan utama firma berkenaan, disokong prospek harga aluminium yang kekal tinggi susulan masalah defisit bekalan struktur di pasaran global dilihat ada kesan besar.
Ia turut menganggarkan pasaran aluminium bakal mengalami kekurangan sejuta tan pada 2026, manakala permintaan bagi 1H26 menunjukkan peningkatan sederhana berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Dalam perkembangan berkaitan kos ujar RHB Research, Press Metal berdepan peningkatan kos alumina secara suku tahunan, manakala kos logistik naik hingga 20% dan kos anod karbon naik kira-kira 8%.

"Kami menjangkakan prestasi lebih kukuh pada 2H26, disokong kesan harga aluminium sekitar 1.5 bulan, penurunan kos alumina dan logistik serta premium yang lebih tinggi bagi stok setiap tan.
Untuk tempoh panjang, projek Kalimantan Alumina Nusantara dimiliki 80% oleh Press Metal dijangka berpotensi meningkatkan sara diri alumina kumpulan hampir 100%, sekali gus mengembangkan margin.
Prestasi kewangannya turut memberikan sokongan kepada prospek apabila keuntungan teras 1H26 meningkat 38% tahun ke tahun kepada RM1.3 bilion, manakala margin naik kepada 26.5% pada 2Q26.
Sementara itu, prospek Malayan Cement Berhad lebih bercampur apabila RHB Research menjangkakan untung bersih FY27 susut 9% tahun ke tahun (YoY), terutama akibat peningkatan kos arang batu.
"Syarikat ini sudah mendapatkan bekalan arang batu sehingga November 2026 pada harga yang stabil hingga AS$90 (RM364) satu tan, tetapi 38% lebih tinggi berbanding paras FY26," kata firma itu.
Ia menganggarkan setiap kenaikan AS$10 (RM40) satu tan harga arang batu boleh mengurangkan keuntungan tahunan Malayan Cement sebanyak 6% dan mengecilkan margin kasar sekitar 130 mata asas.
Walaupun berdepan tekanan kos, RHB Research kekal positif ke atas syarikat itu susulan peningkatan kecekapan operasi serta potensi pertumbuhan jumlah jualan yang disokong projek infrastruktur.
Secara keseluruhan, risiko utama sektor bahan binaan asas termasuk kejatuhan mendadak harga aluminium, peningkatan kos bahan mentah dan kelembapan ekonomi yang lebih meluas. - DagangNews.com








