Firma Perancis Carester jamin teknologi pemprosesan nadir bumi di Perak tanpa sisa radioaktif | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Firma Perancis Carester jamin teknologi pemprosesan nadir bumi di Perak tanpa sisa radioaktif

CEO Carester, Frederic Carencotte menyifatkan kerjasama 10 tahun dengan Malaco Mining Sdn Bhd sebagai perkongsian menang-menang - Gambar AFP
Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 9 Julai - Bahan yang akan dibekalkan kepada firma pakar nadir bumi Perancis, Carester, bukan melibatkan bijih nadir bumi mentah, sebaliknya pekatan yang telah melalui proses penapisan kimia awal di Malaysia, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Frederic Carencotte.

 

Menjawab kebimbangan alam sekitar berkaitan pemprosesan nadir bumi, Carencotte berkata tahap uranium dan torium dalam mendapan tanah liat ionik adalah jauh lebih rendah berbanding jenis batuan lain.

 

“Hari ini, dalam tanah liat ionik, uranium dan torium agak mudah untuk dikeluarkan menggunakan prosedur operasi yang betul.

 

“Jumlah uranium dan torium dalam tanah liat ionik adalah jauh lebih rendah berbanding jenis batuan lain, tetapi ia masih boleh dikeluarkan,” katanya pada taklimat media di Kedutaan Perancis pada Isnin.

 

Beliau berkata teknologi pemprosesan Carester mampu menyingkirkan unsur radioaktif pada peringkat paling awal sekali gus mengelakkan penghasilan sisa radioaktif.

 

“Kami tidak menghasilkan sisa. Kami akan menghasilkan produk sampingan yang boleh dijual kepada syarikat baja,” katanya.

 

Pindah teknologi nadir bumi ke Malaysia

Carencotte turut menegaskan Carester tidak bersaing secara langsung dengan pengeluar nadir bumi Australia, Lynas Rare Earths kerana kedua-dua syarikat beroperasi dengan model perniagaan berbeza.

 

“Lynas ialah syarikat bernilai lebih AS$1 bilion, manakala Carester hanya bernilai beberapa juta. DNA kami adalah kepakaran dalam proses – kimia nadir bumi,” katanya.

 

Carester merancang membangunkan loji pemisahan nadir bumi di Perak dan memindahkan teknologi pemprosesan utama ke Malaysia menerusi kerjasama 10 tahun dengan syarikat perlombongan tempatan Malaco Mining Group.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Perak bakal miliki loji pemisahan nadir bumi hasil kerjasama syarikat Perancis, Carester dan Malaco Mining

 

Kerjasama itu menjadi langkah penting dalam membangunkan industri hiliran nadir bumi Malaysia, meliputi keseluruhan rantaian nilai daripada pengekstrakan, penulenan hingga pemprosesan.

 

Carencotte berkata Carester akan memindahkan teknologi pengekstrakan, penulenan dan pemisahan nadir bumi kepada Malaco, selain memperoleh bekalan produk nadir bumi ditapis dari Malaysia bagi menyokong operasinya di Perancis.

 

“Idea ini sama seperti model perniagaan kami – menyediakan teknologi huluan dan hiliran, selain mengambil sebahagian pekatan untuk membekalkan loji kami di Perancis.

 

“Ini adalah kerjasama menang-menang apabila kami memindahkan teknologi dan membeli pekatan,” katanya.

 

Malaysia dipilih kerana sumber tanah liat ionik

Beliau berkata Malaysia dipilih kerana mempunyai sumber tanah liat ionik yang banyak, mengandungi unsur nadir bumi ringan dan berat.

 

Di bawah kerjasama itu, Carester akan memperkenalkan tiga teknologi utama termasuk teknologi larut resap in-situ bersih, iaitu kaedah mengekstrak unsur nadir bumi sambil mengurangkan risiko kepada alam sekitar.

 

Syarikat itu turut mendapatkan kelulusan pihak berkuasa Malaysia untuk menjalankan aktiviti perlombongan nadir bumi menggunakan teknologi larut resap in-situ bersih di kawasan ladang di beberapa negeri, dengan lokasi berpotensi sedang dikaji di Kelantan dan Perak.

 

Teknologi kedua melibatkan penyingkiran aktinium, iaitu unsur radioaktif yang terdapat dalam tanah liat ionik.

 

Carencotte berkata Carester membangunkan teknologi pengekstrakan cecair-cecair yang dipatenkan bagi menyingkirkan unsur berkenaan tanpa menghasilkan sisa.

 

Teknologi ketiga ialah teknologi pemisahan nadir bumi yang membolehkan Malaysia menghasilkan produk bernilai tinggi seperti neodimium, praseodimium, disprosium dan terbium.

 

Loji pemisahan di Perak sedang dimuktamadkan

Carester berkata teknologi pemprosesannya tidak menghasilkan air sisa dan mampu mengitar semula karbon dioksida semasa proses pengeluaran.

 

Perancangan loji pemisahan nadir bumi di Perak kini sedang dimuktamadkan, walaupun nilai pelaburan dan kapasiti pengeluaran masih belum ditentukan.

 

Di bawah kerjasama itu, Carester akan menyediakan teknologi dan menerima sebahagian pengeluaran menerusi pengaturan pembelian hasil (offtake).

 

Berbeza dengan syarikat yang bergantung kepada satu kawasan perlombongan tertentu, Carencotte berkata Carester memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi pemprosesan yang mampu mengendalikan bahan nadir bumi daripada pelbagai sumber.

 

Beliau berkata syarikat itu telah memeterai perjanjian dengan Malaysia, Afrika Selatan, Kanada dan Brazil bagi mendapatkan bekalan bahan mentah pada masa depan.

 

Bina rantaian nilai nadir bumi autonomi

Kemudahan Carester di Perancis dijangka mula beroperasi dalam tempoh setahun, memberi tumpuan kepada kitar semula magnet serta pemprosesan pekatan nadir bumi berat.

 

Carencotte berkata Carester berharap dapat memulakan operasi di Malaysia “secepat mungkin”, namun mengakui penilaian impak alam sekitar dan kelulusan kawal selia perlu diselesaikan terlebih dahulu.

 

“Hari ini, sudah terdapat loji pemisahan di Malaysia, tetapi ia memproses bahan nadir bumi yang datang dari luar negara.

 

“Ini adalah usaha bersama berasaskan pemindahan teknologi untuk membina rantaian nilai yang autonomi,” katanya. - DagangNews.com