KUALA LUMPUR 3 Sept — Zetrix AI Berhad menjelaskan pengambilalihan 50% ekuiti MYEG Ventures Inc bernilai RM130 juta bakal meningkatkan kepentingannya dalam MYEG Philippines Inc kepada 74.5%.
Penjelasan tersebut dikemukakan susulan pertanyaan daripada Bursa Malaysia Securities Berhad terhadap urus niaga tersebut yang turut menyebabkan dagangan saham syarikat digantung sementara.
Kumpulan itu merujuk pertanyaan bursa pada 2 September 2026 berkaitan perjanjian jual beli saham dengan Next Lion Limited, dengan ia akan memperoleh sejumlah 15.25 juta saham dalam MYEG Ventures.
"Selepas transaksi selesai, Zetrix AI akan memegang 50% kepentingan, dan baki masih kekal dipegang pemegang saham sedia ada, menjadikan MYEG Ventures sebagai entiti dikawal bersama," tambahnya.
MYEG Philippines juga akan menjadi anak syarikat Zetrix AI, setelah membetulkan kesilapan dalam pengumuman asal pada 1 September 2026 menyatakan MYEG Ventures memiliki 60% ekuiti MYEG Philippines.
Kumpulan menjelaskan MYEG Ventures sebenarnya memiliki 51% kepentingan dalam MYEG Philippines, manakala Zetrix AI sendiri sudah pun memiliki 49% kepentingan langsung dalam syarikat Filipina itu.
Dengan pengambilaliham separuh ekuiti MYEG Ventures, Zetrix AI meraih tambahan kepentingan tidak langsung 25.5% dalam MYEG Philippines, dan kepentingan efektif keseluruhan meningkat kepada 74.5%.

"Bagi menerangkan asas nilai pembelian RM130 juta, harga tersebut ditentukan berdasarkan penilaian dalaman MYEG Ventures dan peratusan kepentingan ekuiti yang diperoleh," jelas kumpulan berkenaan.
Lembaga pengarah ujarnya, turut mengambil kira prestasi serta kedudukan kewangan MYEG Philippines, prospek perniagaan dan potensi pertumbuhan sebelum membuat keputusan pengambilalihan tersebut.
Unjuran kewangan MYEG Philippines bagi tempoh lima tahun akan datang, dan potensi kawalan terhadap operasi dan hala tuju, ekonomi skala serta sinergi sedia ada turut dipertimbangkan oleh Zetrix AI.
Penggabungan itu juga dijangka membantu penembusan pasaran baharu dengan memanfaatkan perkhidmatan berasaskan blockchain serta kecerdasan buatan (AI), selain menyokong strategi perluasan di ASEAN.
"Pertimbangan nilai RM130 juta itu akan dibiayai menerusi gabungan terbitan saham baharu Zetrix AI dan tunai, dengan sehingga 360.57 juta saham biasa baharu bakal diterbitkan," tambahnya lagi.
Bagaimanapun ujar kumpulan berkenaan, harga terbitan masih lagi belum ditetapkan dan akan berdasarkan harga purata wajaran volum lima hari (VWAP) saham Zetrix AI sebelum tarikh penerbitan.
Sehubungan itu katanya, sebarang baki daripada RM130 juta tersebut selepas diambil kira nilai saham pertimbangan, akan dibayar secara tunai dengan menggunakan sumber dana yang dijana secara dalaman.
Syarikat itu menjangka syarat terdahulu bagi cadangan pengambilalihan itu dipenuhi menjelang akhir suku ketiga 2026 dan akan membuat pengumuman lanjut selepas harga terbitan saham ditentukan. - DagangNews.com








