KUALA LUMPUR 3 Sept – Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) memperbaharui gesaan supaya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula pada kadar permulaan 3% dengan menyifatkan kadar lebih rendah itu mampu mengurangkan beban perniagaan serta meningkatkan daya saing industri negara.
Presidennya, Jacob Lee Chor Kok berkata, kadar GST sebanyak 6% yang dilaksanakan sebelum ini telah memberikan beban yang ketara kepada perniagaan dan pengguna, justeru kadar 3% dilihat sebagai titik permulaan yang lebih munasabah dan boleh diterima pasaran.
Menurut beliau, kadar cukai penggunaan yang lebih rendah akan memberi ruang lebih besar kepada syarikat, khususnya pengeluar untuk menjalankan aktiviti pembuatan yang lebih produktif.
Cadangan tersebut merupakan antara senarai harapan FMM bagi Belanjawan 2027, yang turut merangkumi perlindungan terhadap penggunaan barangan keperluan, pematuhan yang lebih mudah untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mekanisme bayaran balik cukai yang lebih cekap dan boleh dipercayai.
FMM berkata, pengenalan semula GST pada kadar yang lebih rendah berpotensi membantu menangani tekanan kos dan cabaran daya saing yang dihadapi pengeluar di bawah sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ketika ini.
SST Tingkatkan Kos Dan Tekanan Perniagaan
Berdasarkan Tinjauan Keadaan Perniagaan Separuh Pertama 2026 yang dijalankan FMM mengenai kesan sistem SST, sebanyak 60% pengeluar melaporkan peningkatan kos pengeluaran akibat cukai yang terkandung dalam rantaian bekalan.
Selain itu, 59% responden menyatakan mereka terpaksa menanggung cukai ke atas input perniagaan yang tidak dapat dituntut semula yang terus meningkatkan kos operasi.
Sebanyak 45% pengeluar pula berdepan beban pematuhan dan pentadbiran, manakala 42% melaporkan ketidakpastian berhubung skop cukai, pengecualian serta tafsiran terhadap pelaksanaan SST.
Tinjauan itu turut mendapati 34% responden mengalami peningkatan kos pengeluaran, 32% menyatakan daya saing harga mereka semakin berkurangan, manakala 22% berdepan tekanan terhadap aliran tunai.
Lee berkata, SST menambahkan kos kepada pengeluar melalui cukai yang terkandung dan tidak dapat dituntut semula, sementara kerumitan pentadbiran serta ketidakpastian dalam pelaksanaannya terus meningkatkan beban terhadap syarikat.
Kredit Cukai Dicadang Kurangkan Cukai Bertindih
Susulan kerajaan menyatakan keterbukaannya untuk mengkaji beberapa ciri terpilih GST dalam sistem SST, FMM turut mencadangkan pelaksanaan mekanisme kredit atau pengimbangan cukai input secara lebih sistematik.
Menurut badan industri itu, pendekatan tersebut dapat membantu mengurangkan masalah cukai bertindih, khususnya terhadap bahan mentah dan input yang digunakan sepanjang rantaian pengeluaran.
FMM juga mencadangkan pelepasan cukai yang lebih berkesan bagi barangan keperluan dan eksport, selain memastikan proses bayaran balik cukai dapat dilaksanakan dengan segera.
“Langkah itu dilihat penting bagi mengurangkan kos pengeluaran yang terkandung dalam rantaian bekalan, di samping membantu mengurangkan tekanan terhadap aliran tunai syarikat.
“Di luar pembaharuan sistem percukaian, FMM mahu Belanjawan 2027 memberi tumpuan kepada usaha memperluaskan kapasiti produktif Malaysia dengan membolehkan perniagaan, khususnya PKS, menyimpan dan melaburkan semula lebih banyak modal dalam teknologi, inovasi, pembangunan bakat serta rantaian bekalan tempatan,” katanya.
RM1.5 Bilion Untuk Pembuatan Pintar
Cadangan FMM bagi Belanjawan 2027 disusun berdasarkan empat keutamaan iaitu memperkukuh daya saing industri, membangunkan industri tempatan, melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta mempercepatkan peralihan tenaga dan penggunaan ekonomi kitaran.
Di bawah agenda meningkatkan daya saing, FMM mencadangkan pakej sokongan pembuatan pintar bernilai RM1.5 bilion bagi tempoh 2027 hingga 2030, termasuk RM500 juta untuk automasi, RM750 juta bagi pendigitalan pembuatan dan RM250 juta untuk penggunaan kecerdasan buatan (AI).
FMM turut mencadangkan penubuhan dana penyelidikan dan inovasi pembuatan bernilai RM1 bilion yang dibiayai secara bersama oleh kerajaan dan industri, selain memperluaskan akses kepada insentif penyelidikan dan pembangunan.
Bagi memperkukuh keupayaan industri tempatan, badan itu mencadangkan Dana Ketahanan Rantaian Bekalan Nasional bernilai RM100 juta untuk membantu pengeluar mendapatkan input penting, melayakkan pembekal alternatif dan mempelbagaikan sumber bekalan, selain memperluaskan insentif eksport serta sokongan pembangunan pasaran.
Dalam aspek pembangunan bakat, FMM mencadangkan 60% hasil levi pekerja asing disalurkan kepada pembangunan kemahiran dan 40% lagi kepada automasi, selain memperkukuh pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang diterajui industri, kilang serta program perantisan, termasuk subsidi gaji perantis sebanyak 50% dengan had RM1,000 sebulan selama 12 bulan. - DagangNews.com








