RCI Tabung Haji nafi dakwaan Madinah, rekod menunjukkan dia dipanggil beri keterangan pada 3 Jun 2022 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RCI Tabung Haji nafi dakwaan Madinah, rekod menunjukkan dia dipanggil beri keterangan pada 3 Jun 2022

KUALA LUMPUR 3 Sept - Seorang ahli Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Rashid Hussain menafikan dakwaan bahawa bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad dinafikan peluang untuk memberi keterangan di hadapan suruhanjaya itu.

 

Rashid, yang juga Pengerusi TH, berkata rekod RCI menunjukkan Madinah telah dipanggil untuk hadir memberi keterangan pada 3 Jun 2022, namun meminta agar Timbalan Pengarah Audit Kewangan, Mona Osman dibenarkan hadir bersamanya untuk memberikan keterangan.

 

"Adalah mustahil untuk dipercayai bahawa kami tidak akan memanggil beliau untuk hadir di hadapan kami. Rekod kami menunjukkan beliau telah dipanggil untuk hadir pada 3 Jun 2022.

 

"Namun, beliau meminta untuk tidak hadir bersendirian, sebaliknya ditemani timbalan pengarahnya, Mona Osman," katanya kepada pemberita selepas menghadiri dialog membincangkan realiti dan masa depan TH di sini pada Khamis (3 September).

 

Beliau berkata, memandangkan RCI meneliti keterangan saksi secara bersemuka seorang demi seorang, RCI kemudian memanggil Mona untuk memberikan keterangan pada 2 Jun 2022.

 

Rashid berkata Madinah turut diberikan peluang untuk mengemukakan pandangannya menerusi 75 soalan yang dikemukakan kepadanya, yang dijawab melalui akuan berkanun.

 

"Beliau mengemukakan jawapan kepada 75 soalan tersebut bersama surat iringan, dan kesemuanya direkodkan dalam rekod kenyataan saksi kami. Jadi, adalah tidak benar untuk mengatakan beliau tidak diberi peluang untuk diwakili atau mengemukakan pandangannya," tegasnya.

 

Rashid berkata penjelasan itu dibuat bagi memperbetulkan rekod susulan dakwaan bahawa Madinah tidak dibenarkan memberi keterangan di hadapan RCI.

 

Pada 25 Ogos lalu, Madinah berkata RCI mungkin mencapai dapatan berbeza sekiranya beliau dipanggil untuk memberi keterangan di hadapan suruhanjaya tersebut.

 

Madinah, yang berkhidmat sebagai Ketua Audit Negara dari 2017 hingga 2019, berkata Laporan Ketua Audit Negara 2017 yang disediakan oleh pasukannya tidak mengenal pasti sebarang bukti kecurian secara langsung melibatkan TH.

 

Pada 29 Julai lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerbitkan Laporan RCI setebal 211 halaman mengenai siasatan terhadap pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

 

Laporan itu menggariskan pelbagai dapatan berhubung kelemahan dalam pengurusan institusi berkenaan sepanjang tempoh tersebut serta mengemukakan 25 syor penambahbaikan, dengan 75% daripadanya telah dilaksanakan TH setakat 30 Julai. – BERNAMA