Shell pertimbang jual pegangan majoriti dalam usaha sama loji di Bintulu bernilai RM4.05 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Shell pertimbang jual pegangan majoriti dalam usaha sama loji di Bintulu bernilai RM4.05 bilion

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 3 Sept  — Shell PLC dilaporkan sedang meneroka penjualan pegangan majoriti dalam usaha sama (JV) gas-kepada-cecair (GTL) di Bintulu, Sarawak, dianggarkan AS$1 bilion (RM4.05 bilion).

 

Menurut portal berita kewangan DealStreetAsia berpangkalan di Singapura yang memetik sumber industri tanpa nama, Barclays dilantik sebagai penasihat kewangan bagi menilai pelbagai pilihan strategik.

 

Langkah itu membuka kemungkinan perubahan pemilikan dalam aset industri penting tersebut, namun ia tidak mendedahkan jumlah sebenar daripada 72% yang dipegang dan mungkin dijual syarikat tersebut.

 

 

 

 

 

 

Laman web Shell menunjukkan ia memegang 72% ekuiti Shell MDS (Malaysia) Sdn Bhd melalui Shell Gas BV, manakala baki oleh Diamond Gas Holding Sdn Bhd (14%), PETRONAS (7%) dan Kerajaan Sarawak (7%).

 

Tambah DealStreetAsia, proses perbincangan laut masih lagi berada pada peringkat awal dan terma urus niaga berkenaan sebenarnya boleh diubah berdaasarkan keperluan semasa sebelum dimuktamadkan.

 

Perniagaan Shell MDS dianggarkan menjana pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sekitar AS$120 juta hingga US$130 juta (RM485 juta hingga RM525 juta) setahun.

 

Nilai berkenaan ujar portal tersebut, menjadikan aset itu sebagai cukup berpotensi untuk menarik kepada ramai pelabur strategik terutamanya dalam sektor tenaga dan bahan kimia antarabangsa.

 

Shell_DagangNews2026

 

"Jurucakap Shell mengesahkan bahawa kumpulan itu sedang menjalankan kajian strategik terhadap kepentingannya dalam Shell MDS, namun tiada keputusan dibuat setakat ini," kata DealStreetAsia.

 

Loji GTL Bintulu mula beroperasi pada 1993 dan mencatat sejarah sebagai loji berskala komersial pertama di dunia menggunakan teknologi Shell untuk menukarkan gas asli kepada hidrokarbon cecair.

 

Proses itu bermula dengan menukarkan gas asli kepada gas sintesis sebelum menghasilkan molekul hidrokarbon yang kemudiannya boleh ditapis bagi menghasilkan pelbagai produk bernilai tambah.

 

Kemudahan ini ujarnya, menghasilkan pelbagai produk termasuk lilin sintetik, cecair penggerudian, bahan kimia, cecair khusus dan bahan sulingan jenis pertengahan digunakan dalam lebih 40 aplikasi.

 

 

 

 

 

 

"Antara kegunaannya termasuk pelekat cair panas, plastik PVC, pembungkusan makanan, salutan, pembinaan jalan raya, kosmetik, kerja logam serta cecair asas penggerudian," tambah portal itu.

 

Keadaan tersebut sekali gus menunjukkan kepelbagaian pasaran yang disokong oleh loji berkenaan, dan jika direalisasikan, penjualan pegangan Shell itu menjadi antara transaksi korporat penting.

 

Ia membabitkan aset tenaga dan petrokimia di Sarawak, namun sebarang keputusan akhir masih bergantung kepada hasil kajian strategik serta rundingan dengan pihak berkepentingan. - DagangNews.com