KUALA LUMPUR 3 Sept - Alam Maritim Resources Berhad (AMRB) melantik Datuk Aloysius Albert Michael sebagai Penasihat Strategik Kanan kepada Kumpulan, berkuat kuasa hari ini.
AMRB berkata, dalam kapasiti berkenaan, Aloysius akan membantu Lembaga Pengarah, Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif serta pihak pengurusan dalam perkara berkaitan strategi perniagaan, pembangunan korporat, prestasi operasi, pengembangan perniagaan dan kerjasama strategik.
Beliau turut akan memberikan khidmat nasihat berkaitan inisiatif strategik lain bagi menyokong hala tuju serta pertumbuhan jangka panjang Kumpulan.
Aloysius kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Subsea Worldwide Solutions Sdn Bhd (SWS), anak syarikat AMRB, dan mempunyai pengalaman lebih 56 tahun dalam industri perkhidmatan bawah air bagi sektor minyak dan gas.
Menurut AMRB, pengalaman beliau merangkumi pasaran serantau dan antarabangsa termasuk Asia, Timur Tengah, Afrika serta beberapa pasaran lain.
Beliau juga terbabit dalam pembangunan dan penubuhan perniagaan perkhidmatan dasar laut serta bawah air, termasuk SWS.
Aloysius merupakan pemegang saham substansial AMRB, dengan pengalaman industri dan pandangan strategik beliau dijangka dapat memperkukuh hala tuju strategik Kumpulan.
"Pengalaman luas dalam industri serta pandangan strategik beliau dijangka menyumbang kepada pengukuhan hala tuju strategik Kumpulan dan menyokong pertumbuhan jangka panjangnya," menurut AMRB dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Khamis. - DagangNews.com








