KUALA LUMPUR 3 Sept — Kementerian Kewangan (MOF) dilaporkan melantik Alton Aviation Consultancy untuk menilai keperluan pembiayaan AirAsia Group Berhad, ketika syarikat penerbangan tambang rendah terbesar Asia Tenggara itu berdepan tekanan kewangan dan sedang mencari modal baharu.
Pelantikan tersebut menunjukkan kerajaan sedang menilai bentuk sokongan yang mungkin diberikan kepada AirAsia, dengan kepentingan awam serta kesan ekonomi syarikat menjadi antara pertimbangan utama.
Penglibatan kerajaan itu antara lain didorong peranan AirAsia sebagai majikan utama serta penyedia perkhidmatan penerbangan mampu milik di rantau ini, manakala MOF dilaporkan memantau kedudukan syarikat berkenaan sejak beberapa minggu lalu.
"AirAsia mungkin memerlukan sokongan atau pengesahan kerajaan untuk mendapatkan modal baharu daripada pelabur luar, namun bentuk sebenar sokongan itu masih belum diputuskan," kata sumber yang dipetik agensi berita antarabangsa Reuters.
Pada masa sama, satu sumber berkata, kerajaan sedang meneliti kedudukan kewangan serta aset AirAsia dan tiada rancangan semasa untuk menyelamatkan syarikat atau memberi jaminan terhadap usaha pengumpulan dana.
Tekanan kewangan AirAsia semakin terserlah apabila syarikat mencatat kerugian bersih RM831 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, akibat kenaikan kos bahan api jet susulan konflik di rantau Timur Tengah serta kerugian pertukaran asing yang tinggi.

Bagi memperbaiki kedudukan kewangan, AirAsia sedang melaksanakan penstrukturan agresif termasuk menghentikan laluan yang kurang berprestasi, memulangkan 25 pesawat lama kepada pemberi pajak serta merundingkan semula kontrak dengan vendor bagi mengurangkan kos.
Pada 2 September 2026, AirAsia turut memaklumkan perbincangan dengan institusi kewangan tempatan dan antarabangsa sedang dipergiatkan bagi mendapatkan sehingga AS$1 bilion (RM4.05 bilion) daripada pasaran hutang antarabangsa selain RM700 juta kemudahan kredit tempatan.
AirAsia berkata usaha mendapatkan dana itu bertujuan untuk penstrukturan semula hutang dan bukannya menampung kekurangan dana operasi, namun sumber memaklumkan jumlah tersebut berkemungkinan masih tidak mencukupi untuk menangani keseluruhan cabaran kewangan syarikat.
Setakat 30 Jun 2026, liabiliti semasa AirAsia sudah berjumlah RM18.4 bilion berbanding tunai dan baki bank hanya RM954 juta, menggambarkan tekanan kecairan yang ketara dihadapi syarikat.
AirAsia juga dilaporkan pernah mendekati beberapa pemain industri dan pelabur kewangan, termasuk sekurang-kurangnya sebuah syarikat penerbangan Asia Pasifik, untuk mendapatkan AS$1 bilion melalui pembiayaan ekuiti pada tahun lalu, namun usaha itu tidak berjaya.
Syarikat penerbangan berkenaan dilaporkan menolak cadangan tersebut kerana kurang berminat mengambil pegangan minoriti yang tidak memberikan pengaruh besar terhadap operasi atau strategi pemulihan AirAsia.
Kerajaan sebelum ini pernah menunjukkan kesediaan untuk membantu syarikat penerbangan tambang rendah berkenaan dengan mengenakan beberapa syarat tertentu.
Pada Oktober 2021, syarikat induk AirAsia ketika itu, Capital A Berhad, mendapat kelulusan pinjaman sehingga RM500 juta dengan jaminan kerajaan sebanyak 80% untuk keperluan modal kerja selepas pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, kemudahan pembiayaan itu akhirnya tidak diteruskan kerana memerlukan jaminan daripada pengasas bersama Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun. - DagangNews.com








