KUALA LUMPUR 3 Sept – Niche Capital Emas Holdings Berhad (NICE) memaklumkan rakan kerjasamanya, Greensnow Consolidated Berhad (GCB), telah memperoleh Lesen Pengilangan Interim bagi menghasilkan bahan kimia hijau dan pelarut berasaskan bio untuk kegunaan dalam proses pengekstrakan nadir bumi.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, NICE berkata, anak syarikat milik penuh GCB, Greensnow Biosolutions Sdn Bhd (GBSB), memperoleh lesen tersebut daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada 9 Ogos 2026.
“Lesen itu membolehkan GBSB menjalankan aktiviti pengilangan bahan kimia hijau dan pelarut berasaskan bio bagi pengekstrakan nadir bumi di Lot 401L, Kawasan Perindustrian Gebeng Fasa 4, Bandar Gebeng di Kuantan, Pahang,” katanya dalam makluman tersebut.
Perkembangan itu berkaitan dengan Perjanjian Pembangunan Bersama yang dimeterai antara anak syarikat milik penuh NICE, NICE REE Sdn Bhd, dengan GCB bagi membangunkan projek penerokaan, pengekstrakan dan pemprosesan nadir bumi di Kelantan.
Projek tersebut melibatkan deposit nadir bumi jenis tanah liat serapan ion di kawasan seluas kira-kira 2,000 ekar di Sungai Jeli, Kelantan.
NICE REE sebelum ini dikenali sebagai Supreme Conquest Sdn Bhd dan turut terlibat dalam memorandum persefahaman bersama GCB dan StrategicREM, LLC bagi menyediakan rangka kerja untuk rundingan perjanjian muktamad pembelian hasil nadir bumi yang dihasilkan atau diekstrak daripada projek berkenaan.
Tertakluk kepada beberapa syarat
Menurut NICE, Lesen Pengilangan Interim itu tertakluk kepada beberapa syarat yang ditetapkan oleh MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Antaranya, GBSB perlu memaklumkan kepada MITI dan MIDA mengenai sebarang perubahan dalam pegangan saham syarikat tersebut.
Syarikat itu juga dikehendaki menyediakan latihan kepada pekerja Malaysia bagi memudahkan pemindahan teknologi dan kepakaran pada semua peringkat pekerjaan.
Selain itu, GBSB perlu mengekalkan pelaburan modal bagi setiap pekerja sekurang-kurangnya RM140,000 serta memastikan sekurang-kurangnya 80% daripada tenaga kerjanya terdiri daripada rakyat Malaysia.
GBSB turut dikehendaki menyediakan dan mengemas kini maklumat kepada MIDA mengenai pelaburan serta pembangunan projek apabila diminta, selaras dengan Akta Penyelarasan Perindustrian 1975 dan Akta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia 1965.
Perlu lengkapkan dokumen untuk lesen penuh
NICE berkata, GBSB perlu mengemukakan dokumen sokongan yang berkaitan kepada MIDA dalam tempoh enam bulan daripada tarikh surat kelulusan bagi membolehkan Lesen Pengilangan penuh dikeluarkan.
Menurut syarikat itu, kelulusan berkenaan adalah sejajar dengan objektif dasar perindustrian negara untuk membangunkan rantaian nilai nadir bumi yang lebih bersepadu, termasuk meningkatkan aktiviti pemprosesan dan pembuatan bernilai tambah dalam segmen pertengahan dan hiliran industri tersebut.
NICE berkata, pembangunan rantaian nilai nadir bumi secara menyeluruh daripada peringkat pengekstrakan sehingga pemprosesan juga menyokong usaha Malaysia untuk meningkatkan penciptaan nilai dalam negara serta memperkukuh kedudukan industri nadir bumi tempatan. - DagangNews.com








