KUALA LUMPUR 3 Sept — Carsome Group Inc mencatat hasil mencecah lebih RM33 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2026, naik 38% tahun ke tahun (YoY), menandakan suku ke-10 positif berturut-turut.
Prestasi itu dicapai ketika jumlah kenderaan terjual meningkat 11% YoY kepada 35,903 unit, manakala keuntungan kasar melonjak 15% kepada RM175 juta, dengan pertumbuhan pantas berbanding jumlah unit.
Menurutnya dalam kenyataan, peningkatan itu dipacu bahagian transaksi tinggi daripada perkhidmatan runcit dan pembiayaan, selain peralihan kepada campuran perniagaan yang menawarkan unit lebih baik.
"Pertumbuhan hasil lebih pantas berbanding keuntungan kasar turut mencerminkan peningkatan operasi dengan jumlah transaksi naik, dan membantu kumpulan mengoptimumkan struktur kos," jelas Carsome.
Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Eric Cheng berkata, prestasi 2QFY26 berjaya menunjukkan sasaran yang ditetapkan pihak pengurusan tersebut pada awal tahun dapat dicapai.
Ujar beliau, jumlah kereta yang terjual, keuntungan kasar serta pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) masing-masing berkembang baik kira-kira 11%, 15% dan 38%.
Carsome mencatatakan EBITDA positif 10 suku berturut-turut memberikan asas kukuh kepada kumpulan terus mengembangkan perniagaan serta merebut peluang dalam pasaran kereta terpakai Asia Tenggara.

"Dari segi operasi, kami terus memperluaskan rangkaian dengan pembukaan lokasi baharu di Sungai Petani, Bukit Tinggi, dan Sungai Buloh, menjadikan jumlah keseluruhan 55 lokasi," kata Cheng.
Di Indonesia pula, kumpulan membuka empat lokasi baharu di sekitar Greater Jakarta, menjadikan jumlah pusat pemeriksaan dan bilik pameran kumpulan itu di kawasan tersebut kepada 10 lokasi.
Selain itu, Carsome turut bekerjasama dengan Suzuki Cars Malaysia sebagai rakan tukar beli rasmi eksklusif, yang dijangka memperluas capaian segmen jualan runcit serta perkhidmatan tukar beli.
Bagi baki tahun ini, Cheng berkata mereka akan berusaha mengekalkan tiga keutamaan utama antaranya iaitu meningkatkan jumlah transaksi semasa, dan memperkukuh ekonomi unit agar berkembang baik.
"Di samping itu, kumpulan ini dijangka terus membuktikan keupayaan dalam leveraj operasi, dengan tumpuan bakal diberikan kepada pelaksanaan operasi harian secara berdisiplin," tambah beliau.
Dengan rekod lebih positif pada 2QFY26, Carsome ujarnya, dilihat akan mengukuhkan asas perniagaannya dalam pasaran kereta terpakai Asia Tenggara. - DagangNews.com








