KUALA LUMPUR 3 Sept – EPIC Berhad menerusi anak syarikatnya, Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd (KPKSB) memperoleh kontrak daripada Petra Energy Development Sdn Bhd (PEDSB) bagi menyediakan perkhidmatan sokongan marin untuk operasi di Medan Minyak Banang.
Kontrak itu melibatkan penyediaan dua kapal tunda luar pesisir dengan kapasiti daya tarikan antara 50 hingga 60 tan metrik bagi menyokong operasi medan minyak berkenaan.
PEDSB merupakan anak syarikat milik penuh PETRA Energy Berhad, manakala KPKSB akan memanfaatkan pengalaman dan kepakarannya dalam sektor marin bagi memastikan keperluan operasi luar pesisir dapat dilaksanakan dengan cekap.
Majlis menandatangani kontrak itu diadakan sempena Pameran Minyak dan Gas Asia (OGA) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Dokumen kontrak ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif PEDSB, Richard Chia dan Pengurus Besar Pengurusan Pelabuhan dan Perkhidmatan Marin EPIC Berhad, Kapten Mohd Kamarul Mamat.
Dua Kapal Tunda Sokong Operasi Luar Pesisir
Majlis itu turut disaksikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd, Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRA Energy, Mohamad Subky Bustari.
Di bawah kontrak tersebut, KPKSB akan menyediakan sebuah kapal tunda luar pesisir utama yang berfungsi sebagai kapal sokongan bagi membantu memastikan kelancaran operasi di Medan Minyak Banang.

Sebuah lagi kapal tunda luar pesisir akan disediakan sebagai kapal bantuan bagi menyokong operasi pengangkutan keluar mengikut keperluan PEDSB.
Kapal tunda utama akan disediakan bagi tempoh awal selama 934 hari dengan pilihan untuk melanjutkan perkhidmatan bagi dua tempoh tambahan, masing-masing selama 365 hari.
KPKSB Perkukuh Kedudukan Dalam Sektor Marin
Sementara itu, kapal tunda kedua akan disediakan selama 100 hari berdasarkan keperluan, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan dalam kontrak.
Sementara itu, Dr. Muhtar berkata, penganugerahan kontrak itu mencerminkan keyakinan pelanggan terhadap keupayaan dan pengalaman KPKSB dalam menyediakan perkhidmatan sokongan bagi operasi luar pesisir.
Menurut beliau, KPKSB akan memanfaatkan kepakaran serta pengalaman operasinya dalam sektor marin untuk menyediakan perkhidmatan kapal tunda yang cekap, selamat dan boleh dipercayai bagi menyokong operasi Medan Minyak Banang.
Beliau berkata, perkhidmatan sokongan marin yang berkualiti dan boleh diharap kekal penting dalam memastikan operasi luar pesisir dapat dijalankan secara berterusan, terutama dalam persekitaran industri tenaga yang semakin berkembang.
Dengan kontrak baharu itu serta beberapa projek lain yang sedang dilaksanakan, KPKSB terus memperluaskan penglibatannya dalam perkhidmatan marin dan sokongan luar pesisir, di samping memperkukuh kedudukan Kemaman sebagai hab maritim dan pusat sokongan luar pesisir yang strategik di Pantai Timur Malaysia, selaras dengan pelan pembangunan Pelabuhan Kemaman. - DagangNews.com








