FGV komersialkan baja penggalak tanaman, racun perosak dan peranti pemetaan tepat hasil kajian 50 tahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

FGV komersialkan baja penggalak tanaman, racun perosak dan peranti pemetaan tepat hasil kajian 50 tahun

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 3 SeptFGV Holdings Berhad mengkomersialkan tiga inovasi pertanian tempatan bagi membantu meningkatkan produktiviti, kecekapan input serta kemampanan sektor pertanian negara.

 

Menurut kenyataan kumpulan tersebut, tiga inovasi berkenaan ialah BacN-Fix, Adjuvax 248 dan FGV Geotagger Pro yang dicipta menerusi lebih lima dekad kepakaran penyelidikan dan pembangunan (R&D).

 

Ia dilancarkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di MAEPS, Serdang, Selangor.

 

"Tiga rumusan itu mencerminkan perkembangan keupayaan R&D kumpulan ini daripada pembangunan bahan kepada teknologi hijau, pendigitalan serta automasi bagi memenuhi keperluan semasa," kata FGV.

 

Dalam sektor perladangan, bahan tanaman yang dibangunkan FGV kini menyumbang lebih 40% daripada permintaan tahunan bagi benih kelapa sawit, dengan kapasiti pengeluaran 30 juta benih setahun.

 

BacN-Fix merupakan penggalak pertumbuhan tanaman berasaskan bakteria bermanfaat membantu tanaman menyerap nutrien lebih cekap, serta menyokong perkembangan akar dan pertumbuhan keseluruhan.

 

Produk itu sesuai pelbagai jenis tanaman dan berpotensi mengurangkan kebergantungan terhadap baja kimia, manakala Adjuvax 248 direka FGV bagi meningkatkan keberkesanan racun perosak dan rumpai.

 

FGV Naim_DagangNews
Foto Naim Firdaus Aziz / DagangNews.com

 

"Tugasnya berperanan melalui penyebaran semburan yang lebih baik, mengurangkan pembaziran serta keperluan aplikasi berulang berpotensi meningkatkan kecekapan penggunaan input pertanian," katanya.

 

Langkah tersebut ujarnya, dijangka dapat mengurangkan kos operasi, malah turut membantu dalam usaha pekebun untuk mengurangkan kadar pelepasan karbon menerusi penggunaan input secara lebih optimum.

 

FGV Geotagger Pro pula membolehkan pemetaan dan penentududukan kawasan pertanian secara tepat dan sistematik, bagi menyokong penanaman berketepatan tinggi, pemetaan kawasan dan pengurusan ladang.

 

Sementara Pengarah Urusan Kumpulan, Nurul Muhaniza Hanafi berkata, pemodenan sektor pertanian memerlukan kerjasama pelbagai pihak memastikan teknologi dan inovasi memenuhi keperluan lapangan.

 

"Sebagai entiti penting dalam ekosistem FELDA, skala serta pengalaman operasi FGV membolehkan inovasi diuji dan ditambah baik dalam keadaan sebenar sebelum diperluas kepada pengguna," katanya.

 

Selain itu, keupayaan R&D FGV merangkumi penyelidikan huluan dan hiliran yang menghasilkan produk bernilai tinggi antaranya menerusi pelbagai produk pengguna di bawah jenama ADELA dan PREMEO.

 

Ketiga-tiga inovasi yang diperkenalkan sempena MAHA 2026 itu kini sudah dikomersialkan untuk kegunaan industri dan pertanian, manakala FGV turut mengalu-alukan kerjasama dengan industry.

 

Kumpulan itu turut membantu pekebun kecil dan pengeluar pertanian bagi meneroka aplikasi teknologi tersebut mengikut keperluan tanaman serta operasi masing-masing. - DagangNews.com