KUALA LUMPUR 3 Sept - Well Chip Group Berhad (Well Chip) mendapat kelulusan pemegang saham bagi cadangan terbitan hak boleh lepas sehingga 120 juta saham biasa baharu, yang dijangka mengumpulkan hasil kasar maksimum RM120 juta.
Cadangan terbitan hak itu dilaksanakan berdasarkan satu saham hak bagi setiap lima saham biasa sedia ada yang dipegang, pada harga terbitan indikatif RM1 sesaham, iaitu diskaun 23.54% berbanding harga teoritikal tanpa hak RM1.3078.
Pada tahap minimum, terbitan itu dijangka mengumpulkan sekurang-kurangnya RM60.8 juta.
Pemegang saham terbesar Well Chip, VYN Holdings Sdn Bhd, yang memiliki 50.70% kepentingan dalam syarikat, telah memberikan aku janji tidak boleh ditarik balik untuk melanggan sepenuhnya kelayakannya.
Aku janji berkenaan memastikan tahap langganan minimum dipenuhi, dengan VYN Holdings dijangka menyumbang RM60.3 juta kepada hasil kasar terbitan tersebut.
Daripada hasil yang diperoleh, antara RM15 juta hingga RM30 juta akan digunakan untuk pembukaan kedai pajak gadai baharu dalam tempoh 24 bulan.
Sebanyak RM44.6 juta hingga RM88.8 juta pula diperuntukkan sebagai modal tunai bagi pinjaman pajak gadai untuk digunakan dalam tempoh 12 bulan.
Baki RM1.2 juta akan digunakan bagi membiayai anggaran perbelanjaan berkaitan terbitan hak tersebut.
Menurut Well Chip, pelaksanaan terbitan hak masih tertakluk kepada kelulusan Bursa Malaysia Securities Berhad bagi penyenaraian dan sebut harga saham hak serta kelulusan kawal selia berkaitan.
Harga terbitan muktamad dan tarikh kelayakan akan ditentukan serta diumumkan pada masa yang sewajarnya, manakala penyelesaian pelaksanaan disasarkan pada suku keempat 2026.
Mengulas kelulusan pemegang saham itu, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Well Chip, Ng Hooi Lang berkata modal tambahan berkenaan akan mengukuhkan kedudukan kunci kira-kira Kumpulan.
"Modal tambahan ini akan mengukuhkan kedudukan kunci kira-kira kami dan membiayai fasa seterusnya pengembangan rangkaian kedai pajak gadai, sekali gus membolehkan kami memperluaskan capaian kepada lebih banyak komuniti sambil mengekalkan peruntukan modal yang berhemat serta disiplin operasi," katanya. - DagangNews.com








