KUALA LUMPUR 3 Sept - Tokoh kewangan Islam, Tan Sri Mohd Daud Bakar telah mengeluarkan surat tuntutan terhadap dua individu yang dikaitkan dengan satu skim pelaburan, menuntut RM10.75 juta daripada setiap seorang susulan dakwaan penggunaan nama dan reputasi profesional beliau tanpa kebenaran.
Beliau mengeluarkan surat tuntutan pada 18 Ogos lalu terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif Energy Eco Berhad (EEB), Datuk Norliza Tajudin dan Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman yang dikaitkan dengan AUF MBZ Consortium PLT (AUF).
Dalam surat tuntutan berkenaan, Mohd Daud mendakwa nama, jawatan serta kedudukan profesionalnya digunakan tanpa pengetahuan atau persetujuannya bagi meningkatkan kredibiliti skim pelaburan berkenaan dan mendorong pelabur menyertainya.
Menurut laporan NST, Norliza dan Mahadi diberikan tempoh 14 hari untuk memberikan maklum balas yang memuaskan, sebelum tindakan undang-undang dimulakan sekiranya gagal berbuat demikian.
Mohd Daud yang dilantik sebagai pengerusi dan pengarah EEB pada Julai 2021, menegaskan beliau tidak terlibat dalam pengurusan harian, urusan kewangan, operasi, promosi pelaburan, rundingan dengan pelabur atau pengendalian dana pelabur syarikat.
Sebaliknya, menurut beliau, perkara berkenaan dikendalikan pihak pengurusan EEB, manakala AUF dilantik sebagai pihak pemasaran dan pengedaran bagi skim pelaburan tersebut.
Projek Pencelupan Sarung Tangan
Menurut surat yang dikeluarkan firma guaman Shahrul Hamidi & Haziq, perbincangan pada 2021 membabitkan usaha mengumpul dana untuk EEB melalui struktur Saham Keutamaan Boleh Tebus-i (Redeemable Preference Shares-i) bagi projek barisan pencelupan sarung tangan.
Struktur itu kemudiannya ditukar kepada Perjanjian Pendahuluan Pemegang Saham (Shareholder's Advance Agreement) selepas pengenalan keperluan pelesenan bagi ejen pemasaran pelaburan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Mohd Daud mendakwa beliau tidak mengetahui jumlah dana yang berjaya dikumpulkan, bagaimana dana tersebut digunakan mahupun bagaimana pulangan kepada pelabur diuruskan.
Dalam tuntutan terhadap Norliza, beliau mendakwa pihak pengurusan EEB menggunakan nama dan reputasinya bagi mendapatkan keyakinan pelabur.
Sementara itu, dalam tuntutan terhadap Mahadi, beliau mendakwa Mahadi secara agresif mempromosikan penglibatannya dalam EEB bagi mengukuhkan kredibiliti skim tersebut.
Mohd Daud mendakwa hanya menyedari penggunaan namanya selepas EEB gagal membuat pembayaran dan pelabur mula menghubunginya.
Menandatangani Surat Aku Janji Pembayaran
Beliau kemudiannya menandatangani Surat Aku Janji Pembayaran pada 27 Januari tahun lalu, mengakui jumlah RM4.6425 juta yang perlu dibayar secara ansuran.
Daripada jumlah itu, Mohd Daud berkata beliau telah membayar RM750,000 menggunakan dana peribadi semata-mata bagi memelihara nama baik dan kedudukan profesionalnya.
Justeru, beliau kini menuntut RM750,000 daripada setiap Norliza dan Mahadi sebagai bayaran balik, selain RM10 juta setiap seorang sebagai pampasan atas dakwaan kerosakan reputasi serta ganti rugi bagi segala kos dan perbelanjaan berkaitan.
Pertikaian itu berlaku ketika Mohd Daud, Norliza dan Mahadi turut berdepan prosiding jenayah berasingan berkaitan EEB dan aktiviti pelaburan berkenaan.
Pada 11 Mei lalu, Mohd Daud, 62, dan Norliza, 54, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah membabitkan RM10.55 juta.
Mereka didakwa sebagai pengarah dan pemegang saham EEB kerana secara tidak jujur menggunakan dana milik empat pihak, bertentangan dengan terma Perjanjian Pendahuluan Pemegang Saham berkaitan perniagaan pembuatan sarung tangan patuh syariah.
Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34, dan masing-masing dibenarkan ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin.
Mohd Daud dan Mahadi turut berdepan pertuduhan berasingan berkaitan urus niaga sekuriti tanpa lesen.
Pada 23 Februari lalu, Mohd Daud mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan AUF menjalankan aktiviti terkawal berurusan dalam sekuriti tanpa Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal atau pendaftaran yang diperlukan.
Mahadi pula mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan menjalankan urus niaga sekuriti melalui AUF tanpa lesen atau pendaftaran diperlukan.
Pertuduhan terhadap Mohd Daud dan Mahadi dikemukakan mengikut Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.
Dalam perkembangan terbaharu, peguam Norliza, Datuk Gobinath Mohana dilaporkan berkata anak guamnya menafikan dakwaan Mohd Daud serta sebarang liabiliti terhadap jumlah yang dituntut.
Mahadi atau wakilnya pula masih belum memberikan maklum balas berhubung tuntutan berkenaan. - DagangNews.com








