Pulau Pinang catat pelaburan pembuatan RM17.3 bilion pada 1H2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pulau Pinang catat pelaburan pembuatan RM17.3 bilion pada 1H2026

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Sept – Pulau Pinang mencatatkan pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan sebanyak RM17.3 bilion bagi tempoh enam bulan pertama 2026 dan berada pada landasan untuk mengatasi jumlah RM22.4 bilion yang direkodkan sepanjang tahun lalu.

 

Pencapaian itu meletakkan negeri berkenaan sebagai penyumbang terbesar kepada pelaburan pembuatan yang diluluskan di Malaysia bagi tempoh Januari hingga Jun 2026.

 

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata beliau optimis momentum pelaburan negeri itu akan terus meningkat sehingga akhir tahun ini.

 

Menurutnya, perkembangan pesat industri kecerdasan buatan (AI), pengembangan projek oleh syarikat sedia ada serta aliran pelaburan yang berterusan menjadi antara faktor yang menyokong prestasi tersebut.

 

“Beberapa lagi projek dijangka diumumkan sepanjang tahun ini dan kami berharap perkembangan itu dapat membantu Pulau Pinang mencatatkan prestasi lebih baik berbanding tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Pelaburan asing menyumbang bahagian terbesar

Daripada keseluruhan RM17.3 bilion pelaburan pembuatan yang diluluskan, pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang RM12.8 bilion atau 74% daripada jumlah tersebut.

 

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebelum ini memaklumkan Pulau Pinang turut menjadi penyumbang terbesar pelaburan langsung asing dalam sektor pembuatan negara bagi tempoh berkenaan.

 

Negeri itu menyumbang 39% daripada keseluruhan FDI sektor pembuatan Malaysia dengan Hong Kong, Singapura, China dan Amerika Syarikat antara negara yang menjadi pelabur utama.

 

Pada masa sama, Pulau Pinang merekodkan pelaburan langsung domestik (DDI) sebanyak RM4.5 bilion, meningkat 125% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Peningkatan ketara itu mencerminkan keyakinan berterusan syarikat tempatan untuk menambah pelaburan dan memperkukuh operasi masing-masing dalam sektor pembuatan di negeri berkenaan.

 

Projek pengembangan mendominasi pelaburan

Beliau berkata prestasi kukuh itu dicapai walaupun ekonomi global masih berdepan pelbagai ketidaktentuan serta ketegangan geopolitik.

 

Menurut beliau, pencapaian tersebut membuktikan kekuatan dan daya tahan ekosistem perindustrian yang telah lama dibangunkan di Pulau Pinang.

 

“Perkembangan pesat industri AI turut meningkatkan kedudukan rantau ini sebagai penerima utama pelaburan teknologi strategik, sekali gus memberi manfaat kepada rantaian bekalan sedia ada di Pulau Pinang,” katanya.

 

Daripada RM17.3 bilion pelaburan yang diluluskan itu, projek pengembangan operasi sedia ada menyumbang RM11.9 bilion atau 69%, manakala projek baharu pula berjumlah RM5.4 bilion.

 

Chow berkata, syarikat yang telah beroperasi di Pulau Pinang terus menunjukkan minat untuk mengembangkan kapasiti masing-masing, termasuk membuat pertanyaan dan permohonan bagi mendapatkan tambahan tanah untuk tujuan pengembangan operasi.

 

Momentum pelaburan dijangka berterusan

Prestasi separuh pertama tahun ini menunjukkan pertumbuhan pelaburan Pulau Pinang bukan sahaja didorong kemasukan syarikat baharu, malah turut disokong oleh keputusan syarikat sedia ada untuk memperluaskan operasi mereka.

 

Dengan beberapa projek lagi dijangka diumumkan sepanjang tahun ini, Pulau Pinang kini berpeluang melepasi rekod RM22.4 bilion pelaburan pembuatan yang diluluskan pada 2025. - DagangNews.com