Grid RM43 bilion Malaysia: Pacu pertumbuhan, bukan bebankan rakyat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Grid RM43 bilion Malaysia: Pacu pertumbuhan, bukan bebankan rakyat

Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH

KUALA LUMPUR 3 Sept - Program pemodenan grid Tenaga Nasional Bhd (TNB) bernilai RM43 bilion penting bagi keselamatan tenaga Malaysia, pengembangan industri dan ekonomi digital, namun pelaksanaannya perlu disertai ketelusan mengenai pihak yang akhirnya menanggung kos, kata Ketua Ahli Ekonomi Global Juwai IQI, Shan Saeed.

 

Beliau berkata, persoalan utama bukan sama ada Malaysia perlu memodenkan grid elektriknya, tetapi sama ada kos pembangunan itu diagihkan secara adil antara pengguna biasa dengan pengguna industri berskala besar yang mendorong pertambahan permintaan.

 

“Pemodenan adalah satu keperluan. Ketelusan tidak boleh dikompromi. Infrastruktur yang dikongsi perlu memenuhi kepentingan awam, manakala kapasiti khusus perlu dibayar oleh pihak yang mewujudkan permintaan dan memperoleh manfaat daripadanya,” katanya kepada DagangNews.

 

Isu itu mendapat perhatian selepas pihak tertentu mempersoalkan pelaburan RM43 bilion TNB bagi tempoh 2025 hingga 2027 untuk memperkukuh dan memodenkan grid elektrik negara, ketika sebahagian pengguna berdepan peningkatan bil elektrik.

 

Menurut pihak tertentu, walaupun pelaburan besar itu diperlukan bagi memastikan kestabilan bekalan dan memenuhi pertumbuhan permintaan tenaga, penjelasan lebih terperinci diperlukan mengenai bagaimana kosnya dibiayai dan diterjemahkan dalam struktur tarif elektrik.

 

Antara persoalan yang dibangkitkan ialah berapa banyak daripada pelaburan tersebut berkaitan dengan keperluan industri dan pusat data, bagaimana kos pembangunan kapasiti tambahan diagihkan serta sejauh mana pengguna domestik menanggung kos berkenaan. Turut dibangkitkan ialah keperluan menjelaskan dengan lebih mudah komponen yang membentuk bil elektrik supaya pengguna memahami apa yang sebenarnya mereka bayar setiap bulan.


 

Shan Saeed
Shan Saeed

 

Siapa perlu menanggung kos grid?

Shan berkata, persoalan mengenai pengagihan kos itu wajar dilihat dalam konteks yang lebih luas, khususnya bagaimana pelaburan grid memberi manfaat kepada keseluruhan sistem dan kategori pengguna yang berbeza. Pada masa sama, peningkatan bil elektrik isi rumah tidak semestinya mempunyai hubungan langsung dengan program RM43 bilion tersebut.

 

Menurutnya, penjelasan yang lebih terperinci mengenai komponen pelaburan itu dapat membantu pengguna memahami bahagian yang menyokong kebolehpercayaan keseluruhan sistem, integrasi tenaga boleh diperbaharui dan pertumbuhan permintaan, termasuk keperluan kapasiti bagi pusat data serta industri berskala besar.

 

“Prinsipnya perlu jelas: kos yang memberi manfaat kepada keseluruhan sistem perlu dikongsi, manakala kos kapasiti khusus pengguna pada asasnya perlu diperuntukkan kepada pengguna yang mewujudkan keperluan tersebut,” katanya.

 

Grid Malaysia perlu menampung elektrifikasi, penjanaan tenaga boleh diperbaharui, penyimpanan bateri, pembuatan termaju dan permintaan pusat data yang semakin tertumpu. Green Lane Pathway TNB telah memendekkan tempoh penyambungan pusat data daripada 36 bulan kepada serendah 12 bulan, dengan 33 projek disiapkan menerusi kerangka itu sehingga Mac 2026.

 

Bagaimanapun, Shan mengingatkan bahawa pemodenan grid tidak boleh terus dianggap sebagai punca kenaikan bil isi rumah. Di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4), kerangka tarif merangkumi penjanaan, kapasiti, rangkaian, operasi peruncitan dan pulangan pelaburan yang diluluskan, manakala Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA) melaraskan caj mengikut kos penjanaan termasuk harga bahan api antarabangsa dan kadar pertukaran asing.

 

Suruhanjaya Tenaga menetapkan purata tarif asas di bawah RP4 pada 45.40 sen setiap kilowatt-jam (kWj), meningkat berbanding 39.95 sen/kWj di bawah RP3.

 

Pengguna domestik dengan penggunaan tidak melebihi 1,000 kWj sebulan menerima perlindungan menerusi Insentif Cekap Tenaga, namun bil individu masih boleh berubah berdasarkan penggunaan, AFA, insentif, klasifikasi tarif dan percukaian.


 

parafrasa
Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid

 

AFA, ringgit dan harga bahan api

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, elektrik mempunyai wajaran 2.7% dalam Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia, menjadikan sumbangan langsungnya kepada inflasi keseluruhan secara relatif kecil.

 

Beliau berkata, sejak RP4 berkuat kuasa pada 1 Julai 2025, AFA membolehkan bil elektrik bergerak sejajar dengan perubahan kadar mata wang serta harga bahan api dan gas antarabangsa. Subindeks elektrik susut 9.6% antara Jun hingga Disember 2025 ketika ringgit mengukuh 3.7% berbanding dolar AS dan harga minyak mentah Brent turun 10%.

 

Namun, susulan tercetusnya perang melibatkan Iran pada 28 Februari 2026, subindeks elektrik meningkat 3.6% antara Februari hingga Julai ketika ringgit menyusut 4.7% berbanding dolar AS.

 

Purata harga Brent meningkat kepada AS$94.72 setong antara Mac hingga Julai berbanding AS$66.84 pada Januari dan Februari.

 

“Angka ini menunjukkan faktor luaran memainkan peranan penting, selain peningkatan permintaan elektrik,” kata Afzanizam, sambil berkata permintaan elektrik di Semenanjung Malaysia meningkat 7% pada suku pertama 2026, mengatasi pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 5.4% dalam tempoh sama.

 

Pusat data dan risiko kapasiti berlebihan

Malaysia menarik komitmen digital besar daripada Microsoft, Google, Amazon dan Oracle. Pada akhir 2024, sebanyak 38 projek pusat data memperoleh perjanjian bekalan elektrik mewakili permintaan maksimum 5.9 gigawatt (GW), berbanding penggunaan beban sebenar 405 megawatt (MW).

 

Shan berkata, walaupun penggunaan lazimnya meningkat secara berperingkat selepas operasi bermula, jurang itu menunjukkan risiko aset grid terbiar sekiranya projek ditangguhkan, dikecilkan atau dibatalkan.

 

Malaysia perlu menilai projek berdasarkan modal yang benar-benar dilaburkan, sumbangan cukai, pekerjaan berkemahiran, perolehan domestik, tenaga boleh diperbaharui, penggunaan grid dan pemindahan teknologi, bukan nilai komitmen yang diumumkan semata-mata.

 

Beliau menyokong prinsip pihak yang mendapat manfaat menanggung kos menerusi caj sambungan khusus projek, deposit tempahan kapasiti, jaminan kewangan dan komitmen permintaan minimum.

 

“Sebarang tarif bagi pengguna beban besar perlu berasaskan formula, telus dan diterbitkan sebelum keputusan pelaburan dibuat,” katanya.


 

TNB

 

Keuntungan TNB bukan bukti tarif meningkat

TNB merekodkan hasil RM67.72 bilion pada 2025 dan keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham sebanyak RM4.77 bilion, masing-masing meningkat 19.4% dan 19.8%.

 

Shan berkata, prestasi itu tidak membuktikan keuntungan TNB menyebabkan tarif meningkat kerana syarikat utiliti memerlukan pulangan mampan untuk membiayai infrastruktur berintensifkan modal, tetapi prestasi kewangan yang kukuh mengukuhkan keperluan terhadap pendedahan yang lebih telus.

 

“Bukti yang ada menyokong penelitian kawal selia yang lebih mendalam terhadap pengagihan kos. Ia tidak membuktikan bahawa isi rumah ketika ini membiayai bahagian yang tidak seimbang daripada infrastruktur pusat data.

 

“Malaysia tidak seharusnya melambatkan pemodenan grid dan pada masa sama tidak sepatutnya memberi subsidi kepada pengembangan digital tanpa batasan.

 

"Strategi optimum ialah pelaburan yang agresif, kawal selia yang telus dan pengagihan kos yang berdisiplin,” kata beliau. - DagangNews.com