KUALA LUMPUR 3 Sept — XiDeLang Holdings Ltd mencatatkan kerugian bersih 42.28 juta yuan (RM25.41 juta) bagi tempoh suku keenam tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun 2026 (6QFY26).
Margin keuntungan kasar yang lebih rendah serta peningkatan kos operasi terus menekan prestasi pengeluar kasut sukan itu dengan mencatatkan hasil sebanyak 123.66 juta yuan (RM74.31 juta).
Menurutnya dalam makluman kepada Bursa Malaysia, peningkatan pendapatan itu disumbangkan terutama oleh prestasi jualan yang lebih baik dalam segmen pengilang reka bentuk asal (ODM) kasut sukan.
"Situasi itu namun tidak memacu keuntungan dengan kerugian sebelum cukai (LBT) naik berbanding hanya 8.51 juta yuan (RM5.12 juta) pada suku sebelumnya berakhir 31 Mac 2026," kata XiDeLang.
Berbanding suku sebelum itu, hasil sebenarnya melonjak 67.2%, tetapi margin keuntungan kasar yang mengecil dan perbelanjaan pentadbiran lebih tinggi menyebabkan kerugian meningkat dengan ketara.
Tiada angka perbandingan dengan tahun sebelumnya susulan perubahan tarikh akhir tahun kewangan daripada 31 Disember kepada 30 Jun menyebabkan tempoh meliputi 18 bulan mulai 1 Januari 2025.
Untuk tempoh itu, XiDeLang merekodkan LBT 135.10 juta yuan (RM81.18 juta) dengan hasil 531.15 juta yuan (RM319.17 juta), susulan peningkatan penggajian, serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).

"Selain itu, kumpulan merekodkan kerugian kemerosotan nilai aset, dan menambah tekanan terhadap kedudukan kewangan ketika industri pembuatan kasut di China berdepan risiko tarif global," katanya.
Bagaimanapun, dana terbitan hak berjumlah 151.25 juta yuan (RM83.70 juta) yang diperoleh sejak 2014 bagi pembinaan fasa kedua pusat reka bentuk dan pengeluaran baharu masih belum lagi digunakan.
Pengurusan XiDeLang menyatakan faktor turun naik pasaran, ketidaktentuan geopolitik dan kesan selepas pandemik Covid-19 antara punca kelewatan, dengan dana itu terus disimpan dalam akaun bank.
Kumpulan itu terus menilai langkah memperkukuh operasi menerusi peningkatan pelaburan R&D, automasi dan pembuatan pintar bagi meningkatkan keupayaan reka bentuk serta kecekapan pengeluaran.
"Ia turut menyasarkan tempahan tinggi daripada jenama antarabangsa peringkat kedua dan ketiga yang semakin bergantung kepada rakan kongsi ODM, selain mengkaji pembangunan jenama domestik," katanya.
Pada masa sama, XiDeLang juga sedang berusaha menilai peluang pengembangan yang luas di pasaran luar negara seperti Indonesia dan sudah memulakan perbincangan awal dengan bakal rakan kongsi.
Strategi pembangunan hingga 2028 akan dirumuskan bagi memulihkan prestasi kewangan dan memastikan operasi sejajar perkembangan teknologi, pasaran serta rantaian bekalan global. - DagangNews.com








