Kerjaya Prospek raih kontrak pusat data pertama bernilai RM858 juta di Johor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerjaya Prospek raih kontrak pusat data pertama bernilai RM858 juta di Johor

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 3 Sept - Kerjaya Prospek Group Berhad (Kerjaya Prospek) mencatat satu lagi pencapaian penting apabila memperoleh kontrak pusat data pertama bernilai RM858 juta, sekali gus membuka ruang kepada kumpulan pembinaan itu untuk menerokai sektor pusat data yang berkembang pesat.

 

Kontrak berkenaan dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn. Bhd., oleh sebuah pemaju pusat data bagi melaksanakan kerja-kerja kemasan mekanikal, elektrikal dan paip (MEP) untuk sebuah pusat data di Iskandar Puteri, Johor.

 

Projek itu dijangka dimulakan pada 3QFY26 dan disasarkan siap dalam tempoh lapan bulan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Kerjaya Prospek, Tee Eng Tiong, berkata kontrak tersebut menjadi titik permulaan penting dalam usaha kumpulan membina kehadiran dalam sektor pusat data.

 

"Kami berbesar hati memperoleh kontrak bernilai RM858 juta ini, yang menandakan satu pencapaian penting bagi Kerjaya ketika kami mula menceburi sektor pusat data.

 

"Kami melihat projek ini sebagai titik permulaan yang kukuh untuk membina kehadiran kami dalam sektor pusat data. Selain sumbangan langsung kepada buku pesanan, projek ini akan meningkatkan lagi keupayaan, rekod prestasi pelaksanaan dan kepakaran industri kami," katanya dalam kenyataan.

 

Buku tempahan cecah rekod RM5.9 bilion

Menurut beliau, pengalaman daripada projek berkenaan akan meletakkan Kerjaya pada kedudukan lebih baik untuk membida peluang yang lebih luas dalam sektor pusat data pada masa akan datang.

 

Kontrak terbaharu itu menjadikan jumlah perolehan kontrak baharu Kerjaya bagi 2026 kepada RM3.2 bilion, sekali gus mengukuhkan keterlihatan pendapatan dan saluran kerja pembinaan kumpulan.

 

Lebih penting, buku tempahan tertunggak kumpulan kini mencecah rekod RM5.9 bilion, memberikan asas kukuh untuk sumbangan hasil yang berterusan dalam tempoh beberapa tahun akan datang. - DagangNews.com