RNG jalin kerjasama dengan CP Axtra kendalikan 1,600 kerusi urut di Lotus's Thailand | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RNG jalin kerjasama dengan CP Axtra kendalikan 1,600 kerusi urut di Lotus's Thailand

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Sept – RNG Tech Berhad (RNG) menjalin kerjasama dengan CP Axtra Public Company Limited untuk memperluaskan operasi perkhidmatan di rangkaian Lotus's di Thailand dengan sasaran kapasiti sehingga 1,600 unit kerusi urut layan diri.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, RNG berkata kerjasama tersebut dimeterai menerusi Memorandum Perjanjian pada 2 September 2026 yang menyaksikan anak syarikatnya Rest n Go (Thailand) Company Limited dilantik sebagai penyedia dan pengendali tunggal perkhidmatan kerusi urut di lokasi Lotus's yang akan dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

 

CP Axtra merupakan syarikat awam yang disenaraikan di Bursa Saham Thailand dan antara pengendali perniagaan runcit serta borong utama di negara itu, hasil penggabungan Siam Makro dan Lotus's.

 

Syarikat itu mengendalikan rangkaian Lotus's yang merangkumi format pasar raya besar, pasar raya dan pusat beli-belah komuniti di seluruh Thailand, sekali gus memberi RNG akses kepada lokasi runcit yang mempunyai jumlah pengunjung tinggi.

 

RNG berkata, tempoh keseluruhan kerjasama itu adalah selama tiga tahun enam bulan, bermula pada 1 November 2026 hingga 30 April 2030.

 

Pelaksanaan Dalam Dua Fasa

“Perjanjian itu akan dilaksanakan dalam dua fasa, iaitu fasa sementara selama enam bulan dari 1 November 2026 hingga 30 April 2027, sebelum memasuki fasa tetap selama tiga tahun bermula 1 Mei 2027 hingga 30 April 2030.

 

“Pelaksanaan awal kerjasama tersebut menyasarkan kapasiti minimum sekitar 1,400 hingga 1,600 kerusi urut di kawasan liputan yang dianggarkan seluas 4,800 meter persegi dalam kedai Lotus's.

 

“Bagaimanapun, lokasi sebenar kedai, jumlah kerusi urut serta jadual pelaksanaan akan ditentukan melalui persetujuan bertulis antara Rest n Go (Thailand) dan CP Axtra,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Kedua-dua pihak juga akan berunding untuk memuktamadkan perjanjian menyeluruh dalam tempoh 90 hari selepas memorandum itu ditandatangani atau dalam tempoh lain yang dipersetujui bersama secara bertulis.

 

Sementara menunggu perjanjian menyeluruh tersebut dimeterai, RNG berkata Memorandum Perjanjian itu kekal sah dan boleh dikuatkuasakan dari segi undang-undang.

 

Memperkukuh Kehadiran Di Thailand

RNG berkata, kerjasama itu sejajar dengan strategi Rest n Go (Thailand) untuk memperluaskan rangkaian kerusi urut layan dirinya di Thailand yang dikenal pasti sebagai antara pemacu pertumbuhan utama kumpulan.

 

Syarikat itu sebelum ini berjaya memasuki rangkaian Lotus's dan Big C di Thailand, dengan Rest n Go (Thailand) telah memenangi bidaan Lotus's pada 2025 dan kini mengendalikan sebanyak 806 kerusi urut di 132 lokasi Lotus's di negara tersebut.

 

Menurut RNG, kerjasama baharu itu dijangka memperluaskan kehadiran Rest n Go di lokasi runcit utama Thailand, selain mengukuhkan hubungan jangka panjangnya dengan CP Axtra serta menyokong strategi kumpulan mendapatkan penempatan eksklusif dengan kumpulan peruncitan serantau.

 

RNG berkata, perjanjian itu tidak memberi kesan terhadap modal saham dan pegangan saham pemegang saham utama syarikat, namun dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh kerjasama.

 

Lembaga pengarah RNG turut berpandangan bahawa perjanjian tersebut adalah demi kepentingan terbaik syarikat selepas mengambil kira tujuan, syarat dan ketentuannya, rasional, manfaat, risiko serta kesannya kepada kumpulan. - DagangNews.com