Operasi IMAGO di Sabah jadi penyelamat Asian Pac selepas untung FY26 susut kepada RM100.9 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Operasi IMAGO di Sabah jadi penyelamat Asian Pac selepas untung FY26 susut kepada RM100.9 juta

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 3 Sept — Operasi pusat beli-belah dipacu IMAGO Shopping Mall di Sabah menjadi penyelamat Asian Pac Holdings Berhad dengan keuntungan naik kepada RM181.441 juta bagi FY26. 

 

Bagaimanapun, prestasi kukuh itu belum mampu mengimbangi tekanan dalam perniagaan hartanah apabila untung bersih kumpulan berkenaan susut kepada RM100.898 juta berbanding RM123.169 juta bagi FY25.

 

Segmen pembangunan hartanah menjadi antara punca utama kemerosotan apabila bertukar kepada kerugian RM44.559 juta bagi FY26 daripada keuntungan RM9.985 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

 

"Pada tempoh sama, segmen pegangan pelaburan dan lain-lain turut mencatat kerugian RM3.100 juta berbanding keuntungan RM1.777 juta dicatatkan sebelumnya," maklum Asian Pac kepada Bursa Malaysia.

 

Di sebalik isu itu, hasil kumpulan kekal stabil dengan naik kepada RM350.944 juta daripada RM348.28 juta pada FY25, menunjukkan operasi keseluruhan masih lagi mampu mengekalkan momentum pendapatan.

 

Kedudukan kewangan juga bertambah baik apabila ekuiti pemegang saham meningkat kepada RM1.31 bilion daripada RM1.21 bilion, manakala nisbah hutang pula turun sedikit kepada 36.3% berbanding 36.5%.

 

Kekuatan segmen pusat beli-belah Asian Pac banyak disokong oleh kejayaan peningkatan aset (AEI) di IMAGO yang menambah Kawasan ruang runcit baharu dan berjaya membawa masuk lebih 40 jenama lagi.

 

Asian Pac_DagangNews2026

 

"Daya tarikan itu turut diperkukuh menerusi penganjuran acara dan kempen berskala besar, termasuk Dazzling Christmas 2025 yang mencatat lebih 1.3 juta pengunjung sepanjang Disember 2025," katanya.

 

Bagi meneruskan momentum itu, kumpulan memperluas portfolio peruncitan di Sabah, antaranya usaha pengambilalihan IMAGO Jaya, dan pelantikan sebagai perunding pengurusan Harbour Mall Sandakan.

 

Asian Pac turut meluluskan komitmen modal RM37.8 juta bagi pengambilalihan 100% kepentingan ekuiti dalam sebuah syarikat pada FY26, sebagai sebahagian pelan pengukuhan platform pertumbuhan kumpulan.

 

Dengan IMAGO terus menjadi penyumbang utama keuntungan dan kumpulan giat memperluas portfolio runcitan di Sabah, kumpulan tersebut mempunyai asas untuk meningkatkan daya tahan perniagaannya.

 

"Bagaimanapun, pemulihan segmen hartanah kekal menjadi antara cabaran utama yang perlu ditangani dalam tempoh terdekat sebagai langkah memulihkan pertumbuhan keuntungan kumpulan," tambahnya.

 

Selain itu, Asian Pac turut mendedahkan Laporan Tahunan 2026 perlu disertakan tambahan berikutan kesilapan pencetakan dengan tiga halaman penting tertinggal daripada laporan asal. - DagangNews.com