Peruntukan KKDW: Tunku Nashrul bidas Fadzmel, gesa semak semula fakta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peruntukan KKDW: Tunku Nashrul bidas Fadzmel, gesa semak semula fakta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 3 Sept - Seorang pegawai kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas kenyataan Setiausaha Akhbar Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Fadzmel Fadzil berhubung pertikaian mengenai peruntukan kementerian itu.

 

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Fadzmel sepatutnya menyemak semula fakta sebelum menyanggah kenyataan dikeluarkan Kementerian Kewangan mengenai perbelanjaan KKDW.

 

Tegasnya, mengenali Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Tan Sri Johan Mahmood Merican sebagai penjawat awam kanan yang teliti dan cekap dalam urusan kewangan negara, beliau yakin kenyataan berhubung perkara itu tidak dibuat secara semborono.

 

“Elok saudara Fadzmel semak semula fakta. Saya yakin kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MoF) tidak dibuat secara semborono.

 

“Saya kenal Tan Sri KSP sebagai penjawat awam kanan yang teliti dan cekap. Dalam urusan kewangan negara, sudah tentu beliau lebih arif,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

 

Pertikaian itu tercetus selepas Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, mendakwa pembayaran kepada kontraktor yang melaksanakan projek pembangunan luar bandar tertangguh, dengan sebahagian daripada mereka terpaksa menghentikan operasi akibat masalah aliran tunai.

 

Beliau berkata, terdapat kontraktor di bawah kementeriannya yang masih menunggu bayaran walaupun kerja telah disiapkan dan sasaran projek yang ditetapkan telah dipenuhi.

 

Dalam kenyataan balasnya, Johan berkata MOF tidak mengenakan sebarang sekatan terhadap peruntukan KKDW bagi projek jalan luar bandar, malah peruntukan berkenaan telah disalurkan sepenuhnya kepada kementerian itu.

 

Bagaimanapun, beliau berkata kekangan dalam proses pembayaran kepada kontraktor timbul apabila peruntukan tahun semasa hampir dibelanjakan sepenuhnya.

 

Menurut Johan, KKDW telah membuat komitmen dan perbelanjaan melebihi jumlah peruntukan yang diluluskan bagi projek jalan luar bandar sejak beberapa tahun lalu.

 

Fadzmel kemudiannya menafikan dakwaan Johan bahawa KKDW berbelanja melebihi peruntukan yang diluluskan.

 

Beliau menegaskan Tatacara Pengurusan Kewangan Kerajaan tidak membenarkan sebarang perbelanjaan dibuat melebihi peruntukan yang telah diluluskan, sekali gus menghalang kementerian daripada berbelanja sesuka hati.

 

Menurutnya, sekiranya berlaku perbelanjaan yang tidak teratur atau melebihi peruntukan, perkara itu tertakluk kepada Arahan Perbendaharaan.

 

Katanya, sistem kewangan kerajaan juga tidak membenarkan sebarang projek atau program dibelanjakan tanpa perincian serta peruntukan yang telah diluluskan terlebih dahulu. - DagangNews.com