KUALA LUMPUR 9 Julai - Kerajaan membatalkan keperluan caruman mandatori bagi skim baharu Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) iaitu Lindung 24 Jam yang melindungi pekerja daripada kemalangan bukan berkaitan pekerjaan, sebaliknya menetapkan penyertaan dalam skim itu secara sukarela berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dimuktamadkan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan maklum balas yang diterima daripada orang ramai berhubung pelaksanaan skim berkenaan.
Beliau berkata, butiran lanjut mengenai keputusan itu akan diumumkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Diperkenalkan PERKESO bulan lalu, Lindung 24 Jam atau Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja menyediakan perlindungan sepanjang masa kepada pekerja yang layak sepanjang tempoh pekerjaan, termasuk kemalangan yang berlaku di luar waktu bekerja dan tidak berkaitan dengan tugas mereka.
Skim berkenaan menyediakan manfaat perlindungan kemalangan 24 jam serta kos rawatan perubatan yang ditanggung oleh PERKESO.
Di bawah cadangan asal, caruman skim itu akan ditanggung sepenuhnya oleh pekerja dan dilaksanakan secara berperingkat, bermula pada kadar 0.75% daripada gaji bagi tempoh dua tahun pertama, meningkat kepada 1% bagi tiga tahun berikutnya dan 1.25% mulai tahun keenam dan seterusnya.
PERKESO bayar lebih RM1.2 juta manfaat dalam tempoh sebulan
Pada 1 Julai lalu, Bernama melaporkan PERKESO telah membayar lebih RM1.2 juta manfaat di bawah skim itu dalam tempoh sebulan selepas pelaksanaannya, susulan penerimaan 592 tuntutan.
Daripada jumlah pembayaran itu, sebanyak RM1.16 juta adalah bagi kos implan, manakala manfaat hilang upaya sementara berjumlah RM99,269.
Pelaksanaan peluasan perlindungan keselamatan sosial oleh PERKESO turut merangkumi pembayaran manfaat hilang upaya sementara, iaitu bayaran kepada pencarum ketika menjalani cuti sakit dan tidak dapat bekerja.
Selain itu, perlindungan berkenaan turut meliputi kos rawatan perubatan dan pembedahan, perbelanjaan implan, manfaat hilang upaya kekal berdasarkan penilaian panel doktor, manfaat tanggungan, elaun layanan sentiasa serta perkhidmatan pemulihan di pusat pemulihan PERKESO. - DagangNews.com








