KUALA LUMPUR 9 Julai - Prestasi terbaik Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat) Berhad diiktiraf apabila dipilih sebagai Koperasi Premier Malaysia 2026 iaitu anugerah tertinggi daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Anugerah itu diterima pada Hari Koperasi Negara Peringkat Kebangsaan 2026 di PICCA @ Butterworth Arena, Pulau Pinang baru-baru ini.
Pengiktirafan tersebut meletakkan koperasi ini dalam kelompok paling cemerlang dan berprestij di Malaysia.
Lebih membanggakan, pencapaian ini diraih hanya 14 tahun selepas penubuhannya pada tahun 2012.

Ia membuktikan bahawa sebuah koperasi yang diasaskan bagi memperkasa usahawan wanita B40 Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mampu berkembang menjadi antara institusi ekonomi rakyat berjaya.
Pengerusi Lembaga Koop Sahabat, Mohd Najib Mohd Noor berkata, pengiktirafan tersebut merupakan hasil dedikasi dan komitmen seluruh keluarga besar Koop Sahabat.
Menurut beliau, kejayaan ini melengkapkan rekod cemerlang Koop Sahabat yang mula tersenarai dalam Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia pada tahun 2020.
Katanya, Koop Sahabat juga berjaya mengekalkan kedudukannya dalam kelompok 10 koperasi terbaik negara selama enam tahun berturut-turut sehingga dinobatkan sebagai Koperasi Premier Malaysia 2026.


“Kejayaan ini mencerminkan kecemerlangan koperasi daripada aspek tadbir urus, pengurusan, prestasi kewangan, kemampanan perniagaan serta sumbangannya kepada pembangunan sosioekonomi negara.
“Lebih bermakna, pencapaian ini juga adalah kejayaan 466,000 anggota usahawan AIM di seluruh negara yang bersama-sama membina Koop Sahabat sehingga menjadi antara koperasi paling berjaya di Malaysia.
“Koop Sahabat turut mengekalkan pengagihan dividen 10% secara konsisten mencerminkan prestasi kewangan yang kukuh serta komitmennya dalam mencipta nilai kepada anggota.,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Koop Sahabat mempunyai nilai aset terkumpul kira-kira RM1 bilion dengan Kumpulan Wang Anggota (KWA) sahaja mencecah RM814.938 juta.

Portfolio perniagaan Koop Sahabat merangkumi perkhidmatan kewangan Islam, pembangunan hartanah, pelaburan strategik, pelaburan korporat dan pengurusan perbendaharaan.
Antara pemacu utama kejayaan ialah prestasi memberangsangkan perniagaan Sahabat Ar Rahnu sebagai penyedia pembiayaan patuh syariah.
Koop Sahabat turut memperkukuh portfolio pembangunan hartanah melalui penglibatan dalam projek-projek strategik seperti Residensi Madani Serunai di Putrajaya dan Rumah Selangor Ku Shorea Garden Puchong.
Turut dibangunkan adalah projek Hotel Fairfield by Marriott di Langkawi iaitu hotel bertaraf antarabangsa dan merupakan projek pertama seumpamanya dilaksanakan oleh sebuah koperasi. - DagangNews.com








