Saham Oriental Kopi dinilai tinggi, MBSB Research saran Jual berikutan potensi kenaikan terhad | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham Oriental Kopi dinilai tinggi, MBSB Research saran Jual berikutan potensi kenaikan terhad

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Feb – Walaupun pembelian ibu pejabat dan gudang di Puchong oleh Oriental Kopi Holdings Berhad berharga RM23 juta merupakan langkah strategik jangka panjang, MBSB Research menegaskan pelabur wajar merealisasikan keuntungan pada masa sekarang dan mengekalkan saranan Jual.

 

Firma penyelidikan itu berkata penilaian saham yang tinggi pada 41.8 kali PER menjadikan potensi kenaikan harga adalah terhad dalam jangka masa terdekat walaupun operasi syarikat kukuh.

 

Pembelian premis itu melalui anak syarikat Oriental Coffee International Sdn Bhd, melibatkan tanah pegangan pajakan seluas 5,260.8 meter persegi dengan unit kilang sedia ada. 

 

Transaksi yang mula dicadangkan pada Jun 2025 itu kini telah disahkan bersama penjual, Icon Facade Sdn Bhd dengan tujuan utama untuk memastikan Oriental Kopi memiliki kawalan penuh ke atas aset operasi terasnya yang strategik, sekaligus mengukuhkan kedudukan operasi syarikat untuk jangka panjang.

 

Pengurusan Oriental Kopi menegaskan bahawa harga pembelian ditentukan selepas menilai kadar pasaran bagi hartanah setara di kawasan berdekatan. 

 

MBSB Research berkata pembelian ini boleh menjana penjimatan kos berulang dengan menghapuskan bayaran sewa dan sebahagian kos logistik.

 

“Selain itu, pemilikan premis dijangka memberi fleksibiliti operasi lebih besar ketika syarikat terus mengembangkan rangkaian kafe dan pengedaran produk FMCG. 

 

“Langkah ini dilihat sebagai peruntukan modal berhemah untuk memastikan akses ke aset kritikal yang menyokong fungsi korporat dan pengedaran,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.

 

Pembiayaan RM23 juta itu akan dilakukan melalui gabungan dana dalaman dan pinjaman bank. 

 

t

 

Walaupun transaksi ini dijangka meningkatkan sedikit nisbah hutang syarikat, MBSB Research menilai tahap kewangan Oriental Kopi masih berada dalam julat terkawal memandangkan model operasi kafe yang bersifat aset rendah serta aliran tunai syarikat yang kukuh dan konsisten.

 

“Dari perspektif operasi, Oriental Kopi dijangka terus berkembang melalui pembukaan cawangan baharu di lokasi bandar utama, memanfaatkan perbelanjaan domestik yang stabil dan peningkatan trafik pelancong.

 

“Segmen FMCG syarikat juga dijangka menyumbang kepada pertumbuhan hasil, dengan penawaran produk bermusim seperti kuih bulan serta rancangan pengedaran awal ke pasaran antarabangsa,” katanya.

 

MBSB Research menekankan bahawa walaupun asas operasi kukuh, penilaian saham yang tinggi menimbulkan risiko kenaikan terhad. 

 

Oleh itu, pelabur wajar mempertimbangkan pengambilan untung daripada saham yang kini diperdagangkan pada RM1.36.

 

Sasaran harga MBSB Research adalah RM1.03, mencerminkan potensi penurunan 24 peratus daripada harga semasa. 

 

Dividend yield dijangka rendah pada 0.9 peratus untuk tahun kewangan 2026, dengan DPS dijangka 1.2 sen sesaham, menunjukkan pulangan tunai yang terhad untuk pelabur jangka pendek.

 

Harga saham Oriental Kopi mencatatkan kenaikan 60.9 peratus setahun, mencerminkan prestasi operasi yang kukuh, namun MBSB Research menilai bahawa kenaikan harga kini tidak lagi memberi potensi pulangan yang signifikan kerana saham diniagakan pada PER 41.8 kali. - DagangNews.com