KUALA LUMPUR 19 Feb – RHB Research memulakan liputan terhadap LAC Med Berhad dengan saranan beli dan harga sasaran RM1.14 sesaham, mencerminkan potensi kenaikan sekitar 18% daripada paras semasa, selain jangkaan hasil dividen kira-kira 2%.
Firma penyelidikan itu menilai LAC Med sebagai proksi utama kepada pemodenan sektor kesihatan negara memandangkan kedudukannya sebagai pengedar peralatan perubatan pihak ketiga terbesar di Malaysia dari segi hasil.
Menurut RHB, syarikat tersebut mempunyai rekod operasi selama 21 tahun dan produknya kini digunakan oleh 58% hospital di Malaysia, menyukarkan pesaing baharu dalam industri pengedaran peralatan perubatan.
LAC Med merupakan pengedar kepada beberapa jenama global terkemuka termasuk Philips, Samsung, Abbott dan Baxter, dengan Philips menyumbang 63% daripada jumlah pembelian kumpulan pada tahun kewangan 2024.
RHB Research berkata walaupun perjanjian pengedaran adalah secara rasmi tidak eksklusif, model satu saluran yang diamalkan oleh Philips di Malaysia memberikan kelebihan de facto kepada LAC Med, sekali gus mengukuhkan kedudukan pasarannya.
“Kami mengunjurkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) keuntungan teras tiga tahun sebanyak 18.2% bagi tempoh FY25 hingga FY27, disokong oleh strategi dua teras iaitu peluasan portfolio produk dan pengembangan serantau.
“Bagi portfolio produk, LAC Med telah menambah lima prinsipal baharu pada 2025 dan kini menawarkan 54 unit stok simpanan (SKU) aktif merangkumi mesin ultrasound, peralatan radiografi dan mesin pengimejan resonans magnetik (MRI),” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.
RHB Research berkata prospek kukuh daripada pelan pengembangan hospital swasta di Malaysia, termasuk oleh kumpulan seperti IHH Healthcare dan KPJ Healthcare dijangka meningkatkan kapasiti katil hospital swasta kepada sekitar 22,800 katil menjelang 2028.
Dalam sektor awam pula, peruntukan Belanjawan 2026 yang melibatkan RM1.2 bilion untuk naik taraf hospital dan klinik serta RM755 juta bagi penggantian peralatan perubatan lama dilihat sebagai pemangkin tambahan kepada permintaan peralatan diagnostik.
Firma itu berkata sehingga akhir Oktober 2025, LAC Med mempunyai buku tempahan tertunggak berjumlah kira-kira RM195.1 juta serta buku tender bernilai RM741.8 juta, sekali gus menyediakan keterlihatan pendapatan bagi tempoh terdekat hingga sederhana.
“Model equipment-as-a-service (EaaS) bakal menyediakan aliran pendapatan berulang melalui caj langganan penggunaan peralatan dan kontrak penyelenggaraan, dengan margin keuntungan sebelum cukai berpotensi mencecah sehingga 30%.
“Selain itu, kumpulan juga memperluas jejak ke Indonesia dengan memperuntukkan RM8 juta daripada hasil IPO bagi mengembangkan operasi di Jakarta dan beberapa wilayah utama lain dengan sumbangan hasil dijangka sekitar 7% hingga 8% menjelang FY26.
“Dari segi penilaian, harga sasaran RM1.14 ditetapkan berdasarkan gandaan 15.7 kali pendapatan FY26, selari dengan purata penilaian rakan setara tersenarai serantau, dan dianggap wajar memandangkan model perniagaan berasaskan pengedaran dan integrasi sistem,” kata RHB Research.
Bagaimanapun, firma tersebut mengingatka antara risiko yang ada termasuk kebergantungan kepada pembekal utama, perubahan peraturan industri yang ketat serta kemungkinan kelewatan projek yang boleh menjejaskan pengiktirafan hasil dan prestasi kewangan kumpulan. - DagangNews.com








