Prestasi KDNK 6.3% bagi 4Q25 sukar dikekalkan, CGSI unjur ekonomi Malaysia 4.8% pada 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi KDNK 6.3% bagi 4Q25 sukar dikekalkan, CGSI unjur ekonomi Malaysia 4.8% pada 2026

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 Feb – Lonjakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 6.3% tahun ke tahun (YoY) pada suku keempat 2025 disifatkan sebagai sukar untuk dikekalkan lagi.


Bagaimanapun menurut CGS International (CGSI), asas ekonomi negara ini adalah kekal kukuh memasuki 2026, dengan unjuran pertumbuhan KDNK tahun ini kepada 4.8% daripada jangkaan 4.6% sebelum ini.


Firma penyelidikan tersebut berkata, pertumbuhan luar jangka pada 4Q25 sebahagiannya dipacu faktor sementara termasuk peningkatan pengeluaran minyak sawit dan lonjakan perbelanjaan kerajaan.


"Situasi peruntukan itu mencapai paras paling tinggi sejak suku kedua 2021, namun ia dijangka kembali menyederhana selepas tempoh suku pertama 2026," katanya dalam satu nota kajian hari ini.


Pada 13 Februari 2026, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengumumkan KDNK berkembang 6.3% YoY pada 4Q25, mengatasi anggaran 5.7%, dan pertumbuhan 2025 mencecah 5.2% berbanding 5.1% pada 2024.


Secara suku ke suku (QoQ) terlaras bermusim pula, pertumbuhan ekonomi negara ini adalah sederhana kepada 0.8% berbanding 2.7% dicatatkan pada 3Q25, mencerminkan momentum yang mula normal semula.


CGSI di samping itu menjelaskan, lebihan akaun semasa pula didapati menyusut ketara kepada RM2 bilion pada 4Q25 berbanding RM12.8 bilion pada suku sebelumnya, bersamaan 0.4% daripada KDNK. 


"Kemerosotan ini didorong lebihan lebih rendah dalam akaun barangan, namun sebahagiannya diimbangi peningkatan lebihan akaun perkhidmatan hasil penerimaan pelancongan yang lebih kukuh," tambahnya.


Berdasarkan perkembangan itu jelas firma penyelidikan tersebut, imbangan pembayaran masih lagi mencatatkan lebihan iaitu sebanyak RM1.1 billion, berbanding kira-kira RM3.1 bilion pada 3Q25.


Selain itu, CGSI menjangkakan inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) terus menyokong akaun semasa serta mengekalkan unjuran lebihan akaun semasa 2026 kepada 1.7% daripada KDNK.


Walaupun prestasi 4Q25 dianggap luar biasa, ia berpandangan momentum asas ekonomi akan berterusan pada 2026, disokong kadar pengangguran rendah, pelarasan gaji penjawat awam dan inflasi terkawal.


"Ketibaan pelancong lebih tinggi daripada jangkaan pada 2025 memberi rangsangan kepada penggunaan domestik, dengan kerajaan juga berhasrat menaikkan sasaran 47 juta pelawat bagi 2026," katanya.


Dari sudut luaran kata CGSI, eksport nominal adalah berkembang kira-kira 11% (YoY) pada tempoh 4Q25 berbanding 6.8% pada suku yang sebelumnya, dipacu isu penghantaran pembuatan secara lebih kukuh.


Sehubungan itu firma penyelidikan tersebut berkata, keadaan perdagangan antarabangsa yang lebih jelas serta pengurangan ketidaktentuan tarif dapat membantu meredakan risiko operasi pengeluar.


Unjuran World Semiconductor Trade Statistics meramal jualan global naik 25% turut selari permintaan berkaitan kecerdasan buatan (AI), yang menyokong pemulihan sektor elektrik dan elektronik Malaysia.


"Berdasarkan kepada perkembangan semasa tersebut, kami menaikkan unjuran pertumbuhan KDNK pada 2026 kepada 4.8% daripada hanya 4.6% yang diramalkan sebelum ini," tambah CGSI menerusi analisisnya itu.


Walaupun pertumbuhan suku keempat 2025 berkemungkinan faktor sekali sahaja, asas ekonomi katanya berdaya tahan disokong permintaan domestik, pelancongan dan sektor pembuatan. - DagangNews.com