Pengeluar produk plastik dikhuatiri terpaksa bergabung atau diambilalih ekoran tekanan margin, persaingan sengit – Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengeluar produk plastik dikhuatiri terpaksa bergabung atau diambilalih ekoran tekanan margin, persaingan sengit – Kenanga Research

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Feb – Sektor pembungkusan plastik dikhuatiri bakal menyaksikan gelombang penggabungan atau pengambilalihan (M&A) dalam tempoh terdekat berikutan tekanan margin yang semakin mengecil dan persaingan yang kian sengit, menurut Kenanga Research.

 

Situasi itu menyebabkan syarikat pengeluar tempatan kini terpaksa menyesuaikan strategi masing-masing.

 

Firma penyelidikan itu berkata Thong Guan Industries Bhd mempelbagaikan portfolio perniagaannya, BP Plastics Sdn Bhd meningkatkan kapasiti bernilai tambah dan SLP Packaging Sdn Bhd menumpukan pada produk khusus dan bernilai tinggi. 

 

“Lawatan kami ke Shanghai World of Packaging (SWOP) 2025 menunjukkan bahawa penggunaan kecerdasan buatan (AI) semakin meluas dalam sektor pembungkusan, terutamanya untuk automasi pengeluaran, pembangunan produk, dan kawalan kualiti, menandakan peralihan industri daripada hanya idea kepada pelaksanaan sebenar.

 

“Selain itu, pengeluar China semakin agresif menembusi pasaran antarabangsa dengan sokongan insentif eksport dan subsidi pameran, menyebabkan persaingan harga di rantau ini semakin sengit. 

 

“Trend ini memberi tekanan kepada pengeluar Malaysia kerana mereka terpaksa bersaing dengan pengeluar China sedangkan ada kalanya mereka hanya menjual pada harga yang cukup untuk menampung kos sahaja,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.

 

Kenanga Research menekankan bahawa persaingan dalam industri pembungkusan plastik kini bukan hanya tertumpu kepada harga sahaja, tetapi juga kepada kualiti produk. 

 

Perubahan ini menyebabkan pengeluar perlu memastikan produk mereka bukan sahaja mampu bersaing dari segi harga, tetapi juga memenuhi standard kualiti yang lebih tinggi. 

 

Pelanggan kini mempunyai pilihan yang banyak, manakala margin keuntungan bagi pengeluar semakin terhad dan keadaan ini memaksa syarikat-syarikat tempatan untuk memberi perhatian lebih kepada inovasi, memperbaiki mutu produk, dan memperkenalkan ciri atau nilai tambahan supaya mereka kekal relevan dan tidak kehilangan pelanggan dalam pasaran yang semakin kompetitif.

 

Di pasaran tempatan, lebih banyak syarikat mula menceburi segmen ‘customized bags’ bagi mempelbagaikan aliran pendapatan mereka, sebagai strategi untuk menghadapi tekanan margin dan persaingan yang ketat.

 

Scientex Bhd pula dilaporkan mengekalkan asas pendapatannya melalui pembangunan hartanah di Malaysia, sementara pelaburannya membuka kilang di Arizona, Amerika Syarikat, terbukti memberi pulangan positif terutama dalam konteks perang dagangan global yang sedang berlaku.

 

Kenanga Research berkata tekanan persaingan dan harga dijangka berterusan dalam jangka masa terdekat, memerlukan pengeluar tempatan sentiasa menyesuaikan strategi dan meningkatkan kecekapan untuk kekal kompetitif.

 

Firma itu berkata Thong Guan kekal sebagai pilihan utama dengan potensi pertumbuhan yang kukuh dan mengekalkan sarana Outperform untuk saham syarikat itu dengan sasaran harga RM1.29.

 

Firma itu bagaimanapun mengekalkan saranan Neutral untuk keseluruhan sektor pembungkusan plastik. - DagangNews.com