Pemegang saham PETRONAS Gas lulus pelan penyusunan semula asingkan perniagaan dikawal selia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemegang saham PETRONAS Gas lulus pelan penyusunan semula asingkan perniagaan dikawal selia

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 Feb – Pemegang saham PETRONAS Gas Berhad (PetGas) meluluskan cadangan penyusunan semula antarabangsa bagi mengasingkan perniagaan dikawal selia di bawah kumpulan itu.


Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, resolusi tersebut berjaya diluluskan pada mesyuarat yang diperintahkan mahkamah dan diadakan secara dalam talian pada 12 Februari 2026.


Tambahnya, kira-kira 99% pemegang saham syarikat berkenaan bersetuju meluluskan usul berkenaan, dengan keputusan pengundian menunjukkan 1,832 undi menyokong dan hanya 120 undi menentang.


"Di bawah pelan ini, perniagaan pengangkutan, pemprosesan gas dan utiliti dipindahkan kepada anak syarikat milik penuh, menerusi skim pengaturan ahli di bawah Akta Syarikat 2016," kata PetGas.


Jelas kumpulan tersebut, perniagaan pengangkutan gas akan diletakkan terus di bawah PG TransCO Sdn Bhd, manakala segala aktiviti pemprosesan gas pula diuruskan kepada PG Gas Processing Sdn Bhd.


Segmen utiliti akan dipindahkan kepada PG Utilities East Sdn Bhd yang berada di bawah PG Energia Sdn Bhd, iaitu syarikat pegangan yang ditetapkan bagi perniagaan utiliti dan tenaga kumpulan.


Kata PetGas, penyusunan semula itu bertujuan mewujudkan pemisahan antara aktiviti dikawal selia seperti pengangkutan dan pemprosesan gas, daripada operasi utiliti dan tenaga yang tidak dikawal.


"Langkah ini juga menyokong strategi jangka sederhana hingga panjang untuk kekal berdaya saing, cekap dan relevan, dengan PG Energia menyatukan perniagaan serta projek berkaitan," tambahnya.


Usaha tersebut bagi meningkatkan kecekapan kos dan respons terhadap permintaan pasaran, dengan cadangan berkenaan dijangka dapat dimuktamadkan seawal menjelang akhir tempoh suku ketiga 2026.


Selain itu jelas PetGas, tidak pengasingan tersebut diyakini tidak akan memberi kesan kepada modal saham, struktur pemegang saham atau pendapatan sesaham kumpulan dalam tempoh yang terdekat.


Pada rehat tengah hari dagangan 13 Februari 2026, saham syarikat berkenaan susut 24 sen atau 1.29% kepada RM18.30, menjadikan permodalan pasarannya sekitar RM36.2 bilion. - DagangNews.com