Pelaburan AI di Asia Pasifik dijangka capai AS$117 bilion menjelang 2030 - Deloitte | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelaburan AI di Asia Pasifik dijangka capai AS$117 bilion menjelang 2030 - Deloitte

Oleh NUR 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 8 April - Pelaburan kecerdasan buatan (AI) di seluruh Asia Pasifik dijangka meningkat lima kali ganda menjelang 2030, mencapai AS$117 billion (RM522.93 trilion), dengan Generative AI (GenAI) dijangka menjadi teknologi perusahaan yang paling pesat berkembang di rantau ini, menurut laporan terkini oleh Deloitte.

 

Laporan tersebut mendapati walaupun minat terhadap pengadopsian GenAI terus kukuh, sembilan daripada sepuluh syarikat di Malaysia menyatakan teknologi ini juga membawa risiko keselamatan, terutamanya dari sudut keselamatan siber.

 

Justin Ong, pemimpin industri perkhidmatan kewangan Deloitte Malaysia, berkata: "Penyelesaian AI menawarkan alat produktiviti yang hebat, namun jika tidak diurus dengan baik, ia boleh meningkatkan risiko kebocoran data atau denda peraturan".

 

Menurut Ong, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil langkah positif dengan memperkenalkan rangka kerja peraturan untuk perkhidmatan media sosial dan penyedia perkhidmatan pesanan internet. 

 

"Di seluruh Asia Pasifik, hanya kurang daripada 10% organisasi yang mempunyai struktur tadbir urus yang sesuai untuk memastikan AI boleh dipercayai," katanya dalam satu kenyataan.

 

Laporan AI at a Crossroads yang diterbitkan oleh Deloitte juga menyatakan hanya 13% daripada industri perkhidmatan kewangan global (FSI) yang telah mempersiapkan diri dengan baik untuk melaksanakan AI yang boleh dipercayai. 

 

Di Malaysia, lebih 50% syarikat masih bergelut dengan cabaran dalam mengadopsi teknologi AI, manakala 37% lagi menyatakan kekurangan pemahaman mengenai potensi AI.

 

Dalam kalangan pekerja organisasi di Malaysia, kurang daripada 60%  mempunyai kemahiran yang mencukupi untuk menggunakan penyelesaian AI dengan cara yang beretika dan mematuhi undang-undang.

 

Ong turut menambah, meskipun sektor perkhidmatan kewangan telah meningkatkan langkah keselamatan siber, 42% daripada organisasi yang disoal selidik melaporkan peningkatan insiden keselamatan dalam tahun kewangan yang lalu. 

 

Laporan Deloitte ini merupakan salah satu kajian yang paling menyeluruh mengenai kematangan tadbir urus AI di Asia Pasifik, melibatkan hampir 900 pemimpin senior di 13 lokasi di rantau ini.

 

Tadbir urus yang baik menjadi kunci utama untuk memastikan kelangsungan dan kemajuan industri kewangan, terutamanya dengan permintaan terhadap perkhidmatan kewangan yang semakin meningkat di kalangan pengguna yang lebih muda dan celik teknologi.- DagangNews.com