ISF peroleh subkontrak bina sistem pembetungan RM14.54 juta untuk pusat data | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ISF peroleh subkontrak bina sistem pembetungan RM14.54 juta untuk pusat data

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Jun – ISF Group Bhd memperoleh subkontrak bernilai RM14.54 juta bagi melaksanakan kerja-kerja pembetungan dalaman untuk sebuah projek pusat data berskala besar.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, penyedia perkhidmatan sistem paip bersepadu itu berkata, kontrak tersebut diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, Yeo Plumber Sdn Bhd daripada sebuah syarikat persendirian yang terlibat dalam bidang kejuruteraan awam dan pembinaan bangunan.

 

Bagaimanapun, ISF tidak mendedahkan identiti syarikat yang menganugerahkan kontrak berkenaan dan hanya memaklumkan ia adalah syarikat yang berpangkalan di Malaysia.

 

Menurut syarikat itu, skop kerja merangkumi pelaksanaan sistem pembetungan dalaman bagi projek pusat data tersebut dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 26 Mac 2027.

 

Susulan penganugerahan kontrak baharu itu, nilai buku tempahan belum dibil kumpulan meningkat kepada RM153.5 juta, memberikan sokongan kepada aliran pendapatan masa hadapan syarikat.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan ISF, Jeff Ai Boon Chen berkata syarikat berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pertumbuhan pesat pelaburan pusat data yang sedang berkembang di Malaysia.

 

Katanya, peluang itu disokong oleh kepakaran teknikal syarikat serta rekod pelaksanaan projek yang terbukti dalam industri berkaitan.

 

“Seiring pertumbuhan pelaburan pusat data, kami percaya ISF berada pada kedudukan kukuh untuk meraih manfaat daripada perkembangan tersebut menerusi kepakaran teknikal dan keupayaan pelaksanaan projek yang dimiliki,” katanya.

 

ISF membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada Januari 2026 dan sahamnya ditutup naik 0.5 sen atau 0.9% kepada 52.5 sen pada Rabu.

 

Pada harga tersebut, syarikat mempunyai nilai pasaran kira-kira RM525 juta, manakala harga sahamnya telah meningkat lebih 59% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 33 sen sesaham. - DagangNews.com