KUALA LUMPUR 11 Jun — Projek tenaga boleh diperbaharui (RE) terkini oleh Gamuda Berhad di Australia hanya akan mula beroperasi secara komersial sekitar 2030, menurut analisis MBSB Research.
Justeru, firma penyelidikan tersebut menimbulkan persoalan mengenai isu tempoh pulangan pelaburan yang disifatkan sebagai cukup panjang dan masalah ketidakpastian penjanaan nilai awal projek itu.
Pada masa sama, ia namun melihat langkah kumpulan itu sebagai pemangkin strategik yang membuka peluang pertumbuhan bernilai tinggi pada masa depan merentasi pelbagai portfolio perniagaan.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Gamuda dengan harga sasaran (TP) RM5.60 sesaham, disokong buku tempahan tertinggi dalam sejarahnya sebanyak RM55.4 bilion," kata MBSB Research.
Ia susulan anak syarikatnya, Gamuda Renewables Pty Ltd memperoleh kepentingan opsyen dalam projek Hazelwood North Solar Farm dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) di Victoria, Australia.
Projek terbaharu berkenaan jelas firma penyelidikan itu, merangkumi ladang solar berkapasiti 450MW bersama BESS dengan kekuatan 1,800MWh selama tempoh empat jam di tapak berkeluasan 1,100 hektar.
Kata MBSB Research, pembinaan dijangka hanya bermula pada 2028 sebelum operasi komersial menjelang 2030, namun untuk peringkat ini, Gamuda hanya memperoleh opsyen dalam pembangunan projek itu.

Artikel berkaitan: Gamuda terus agresif dalam RE, ambil alih projek solar dan BESS Hazelwood North di Australia
"Sehubungan itu, kami berpandangan komitmen modal awal kumpulan ini dijangka adalah minimum memandangkan segala butiran kewangan transaksi yang lengkap masih belum didedahkan," jelasnya.
Apa yang lebih menarik ujarnya, kumpulan tersebut bersama rakan strategiknya, Manthos Investments menilai potensi pembangunan pusat data (DC) yang turut ditempatkan dengan kemudahan RE berkenaan.
Langkah Gamuda itu kata MBSB Research, membolehkan akses terus bekalan tenaga hijau dan prasarana penyimpanan tenaga, serta mewujudkan ekosistem digital yang lebih mampan dan berdaya saing.
Firma penyelidikan itu melihat potensi integrasi DC mampu meningkatkan nilai jangka panjang aset selain mengukuhkan kedudukan dalam dua tema pertumbuhan utama iaitu RE dan infrastruktur digital.
"Kami menyifatkan pemerolehan ini sebagai sebahagian daripada strategi agresif kumpulan berkenaan untuk memperluaskan jejak RE di Australia, yang kini merupakan aset ketiga syarikat," tambahnya.
Sejajar perkembangan itu, pengurusan Gamuda meningkatkan sasaran kapasiti aset RE kepada 5GW menjelang 2031 merangkumi fasiliti yang sedang dibangunkan, dalam pembinaan dan sudah beroperasi.
Walaupun tiada perubahan ke atas unjuran pendapatan kumpulan itu berikutan kekurangan maklumat kewangan dan sifat opsyen transaksi tersebut, MBSB Research melihat langkah ini sebagai positif.
Usaha syarikat itu mengukuhkan strategi jangka panjang membina aliran hasil berulang daripada pemilikan aset infrastruktur, serta berpotensi mewujudkan sinergi antara segmen RE dan DC. - DagangNews.com








