KUALA LUMPUR 11 Jun — Risiko fenomena El Nino yang dijangka semakin kuat dalam tempoh beberapa bulan akan datang mula mencetuskan kebimbangan serius terhadap isu bekalan minyak sawit global.
Menurut penganalisis, pengeluaran tandan buah segar (FFB) dikhuatiri terjejas manakala harga minyak sawit mentah (MSM) pula namun dijangka melonjak secara ketara pada separuh kedua tahun ini (2H26).
Walaupun inventori minyak sawit Malaysia naik kepada paras tertinggi dalam tempoh tiga bulan pada Mei 2026, dua firma penyelidikan berpendapat yang sentimen sektor perladangan kekal positif.
"Kami berpandangan ancaman El Nino dijangka memberi tekanan kepada pengeluaran, dan menyokong peningkatan harga MSM," jelas Public Investment Bank yang turut mengekalkan saranan 'overweight'.
Bagaimanapun, ia masih mengunjurkan harga purata MSM sebanyak RM4,400 satu tan bagi tahun kewangan 2026, susulan stok minyak sawit Malaysia naik 5.2% kepada 2.4 juta tan metrik pada bulan lalu.
Situasi tersebut ujarnya, selaras data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berikutan kelemahan eksport dan penggunaan domestik yang lebih perlahan walaupun pengeluaran FFB menurun sebanyak 7%.
Eksport minyak sawit kata PublicInvest, susut 14.5% kepada 1.1 juta tan metrik, susulan permintaan lebih rendah dari China, Kesatuan Eropah (EU) dan India apabila pembeli beralih kepada Indonesia.
"Negara jiran tersebut mampu menawarkan pada harga lebih murah, dengan diskaun sekitar RM670 satu tan berbanding minyak sawit Malaysia, namun harga MSM berpotensi meningkat pada 2H26," katanya.
Perkembangan positif tersebut berikutan pasaran mula mengambil kira ancaman risiko El Nino yang dijangka menjadi antara paling kuat memberi kesan buruk pernah direkodkan di Malaysia selama ini.
PublicInvest turut melihat pelaksanaan mandat biodiesel B15 sebagai faktor sokongan permintaan domestik, dengan penggunaan MSM dijangka meningkat drastik kepada kira-kira 801,000 tan setahun.
Ini berbanding hanya 534,000 tan di bawah program B10 sebelum ini, dengan firma penyelidikan itu turut mengekalkan Sarawak Plantation dan Ta Ann sebagai pilihan utama saham sektor perladangan.

Artikel berkaitan: Malaysia berdepan krisis air dan tenaga serentak akibat 'Super' El-Nino hingga 2027, kata AWER
Sementara itu, CGS International (CGSI) turut mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor berkenaan dengan menjangkakan harga MSM berpotensi mengukuh baik pada enam bulan terakhir 2026.
"Data MPOB menunjukkan inventori minyak sawit meningkat pada Mei 2026, melebihi jangkaan pasaran sebanyak 2.36 juta tan metrik, sekali gus menggambarkan negara ini ada banyak stok," katanya.
Kelemahan eksport sebahagian besarnya disebabkan pembeli mempercepatkan pembelian minyak sawit Indonesia sebelum pelaksanaan fasa pertama dasar baharu eksport republik itu pada 1 Jun 2026.
Pada masa sama, CGSI menjangkakan Malaysia bakal mendapat manfaat besar daripada kekangan eksport Indonesia dalam tempoh akan datang, sekali gus membantu dalam mengurangkan inventori tempatan.
Merujuk data Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA), ia berkata kebarangkalian El Nino berada pada paras 80% hingga 90% antara Jun 2026 hingga Februari 2027.
"Berdasarkan trend sejarah, fenomena ini kelazimannya menyebabkan hasil FFB Malaysia susut antara 13% hingga 16% manakala harga MSM meningkat sekitar 22% hingga 23% tahun ke tahun," ujarnya.
CGSI berpandangan pengeluar huluan Malaysia akan menjadi penerima manfaat utama daripada peningkatan harga tersebut kerana berpotensi menikmati harga jualan purata (ASP) lebih tinggi.
Pada masa sama jelasnya, pertumbuhan eksport dijangka naik susulan ketidaktentuan dasar Indonesia dan, ia menilai saham Ta Ann, Hap Seng Plantations dan SD Guthrie Berhad sebagai pilihan utama.
Tiga syarikat itu dilihat berupaya meraih manfaat daripada persekitaran harga MSM yang lebih kukuh serta potensi penjanaan nilai menerusi inisiatif pelupusan aset bukan teras. - DagangNews.com








