Aktiviti tender Sunway Construction meningkat pada separuh kedua 2026, dijangka raih lebih banyak kontrak pusat data - CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aktiviti tender Sunway Construction meningkat pada separuh kedua 2026, dijangka raih lebih banyak kontrak pusat data - CGSI

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 11 Jun - Sunway Construction Group Bhd. (SunCon) dijangka terus mendapat manfaat daripada pertumbuhan pesat sektor pusat data (DC) di Malaysia apabila aktiviti tender dijangka meningkat dengan ketara pada separuh kedua tahun kewangan 2026 (2H26F), kata CGS International CCGSI).

 

Firma penyelidikan itu berkata, selepas sesi pertemuan bersama pengurusan SunCon semalam, syarikat tersebut kekal optimis terhadap prospek sektor pusat data meskipun mengekalkan sasaran perolehan kontrak baharu sebanyak RM6 bilion bagi FY26F.

 

Katanya, setakat Jun 2026, SunCon telah memperoleh kontrak baharu bernilai RM3.6 bilion, mewakili 60% daripada sasaran tahunannya.

 

Bagaimanapun CGSI berpandangan, sasaran tersebut dilihat konservatif memandangkan syarikat kini mempunyai buku tender bernilai RM15 bilion yang terdiri daripada enam pelanggan pusat data sedia ada dengan kebarangkalian tinggi untuk ditukar kepada kontrak sebenar.

 

"Antara projek yang berpotensi menjadi pemacu utama ialah pembangunan JHB1XO Building 2 di Johor yang dijangka dimuktamadkan menjelang akhir tahun kalendar 2026 selepas pelanggan menyelesaikan urusan pemilihan penyewa.

 

"Selain itu, projek JB01 dan JB02 yang kini berada pada peringkat permintaan perkhidmatan dijangka berkembang menjadi kontrak pembinaan penuh pada masa hadapan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Potensi Kontrak Susulan Projek Pusat Data Bandar Serendah

CGSI turut berpandangan SunCon berada pada kedudukan terbaik untuk memperoleh dua pakej projek pusat data yang masih berbaki di Bandar Serendah, Selangor selepas berjaya meraih kontrak fasa pertama bernilai RM1.75 bilion pada April lalu.

 

Dari aspek operasi, SunCon memaklumkan syarikat tidak berdepan sebarang isu besar berkaitan kelulusan pusat data, khususnya bagi pelanggan sedia ada yang mendapat manfaat daripada proses kelulusan dipercepatkan oleh Data Centre Task Force (DCTF).

 

Malah, syarikat kini memberi tumpuan kepada projek pusat data berkaitan kecerdasan buatan (AI), yang dilihat menikmati proses kelulusan yang lebih lancar.

 

Setakat ini, SunCon dipercayai merupakan satu-satunya kontraktor tempatan yang mempunyai enam pelanggan pusat data aktif, dengan sekurang-kurangnya dua pelanggan utama mempunyai pelan pengembangan yang jelas.

 

"Berdasarkan anggaran kami, bank tanah yang dimiliki oleh dua syarikat hyperscaler utama dari Amerika Syarikat berpotensi menjana nilai kontrak sehingga RM35 bilion pada masa hadapan," kata firma itu.

 

Menurut CGSI lagi, kelebihan daya saing SunCon turut disokong oleh rekod pelaksanaan projek yang kukuh apabila syarikat berjaya menyiapkan kapasiti pusat data sebanyak 180 megawatt (MW), termasuk pentauliahan tiga pusat data yang disiapkan mengikut atau lebih awal daripada jadual.

 

Prestasi tersebut telah membantu meningkatkan margin pembinaan syarikat daripada sekitar 7% hingga 8% ketika memperoleh kontrak pusat data pertamanya pada 2023 kepada sekitar 16% hingga 17% dalam tempoh suku keempat 2025 hingga suku pertama 2026.

 

Walaupun sebahagian peningkatan margin itu disumbangkan oleh insentif penyiapan awal projek, CGSI percaya SunCon masih mampu mengekalkan margin sebelum cukai bagi segmen pusat data pada paras 10% hingga 12% dalam jangka panjang.

 

Sehubungan itu, CGSI mengekalkan saranan “TAMBAH” terhadap saham SunCon dengan menaikkan harga sasaran kepada RM9.00 sesaham berbanding unjuran terdahulu. - DagangNews.com