KUALA LUMPUR 11 Jun – MM Computer Systems Bhd memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan prestasi sederhana, seiring sentimen pasaran yang lemah secara keseluruhan.
Saham syarikat teknologi maklumat itu dibuka tidak berubah pada 22 sen iaitu harga tawaran awam permulaan (IPO) yang ditetapkan sebelum penyenaraian.
Sejurus selepas dibuka, saham berkenaan susut hampir serta-merta kepada 21.5 sen selepas loceng pembukaan.
Bagaimanapun, ia kembali pulih dan diniagakan pada 23 sen sekitar jam 9.15 pagi. Pada sesi awal dagangan itu, lebih 87 juta saham bertukar tangan di pasaran.
Pada harga 23 sen, nilai pasaran MM Computer Systems dianggarkan sekitar RM125 juta.
Sebelum penyenaraian, IPO MM Computer Systems menerima sambutan menggalakkan apabila terlebih langgan sebanyak 42.12 kali oleh pelabur runcit.
Syarikat itu berjaya mengumpul RM26.18 juta menerusi terbitan saham baharu, manakala RM10.42 juta lagi diperoleh daripada tawaran jualan saham oleh pemegang saham sedia ada iaitu Young Yoong Chang, Pengarah Eksekutif Lee Choon Weng dan Ketua Pembangunan Perniagaan Quah Soo Keat.
Syarikat berpangkalan di Kuala Lumpur itu terlibat dalam reka bentuk dan pelaksanaan sistem infrastruktur IT serta rangkaian termasuk pelayan, pusat data, sistem awan dan rangkaian, selain penyelesaian keselamatan siber seperti firewall, perlindungan malware dan rangkaian selamat.
Ketika ini, MM Computer Systems mempunyai 105 kontrak aktif dengan jumlah pendapatan belum diiktiraf sebanyak RM80.83 juta.
Hasil IPO akan digunakan kira-kira dua pertiga untuk pembelian perkakasan dan perisian IT, manakala 12 peratus diperuntukkan bagi pengembangan tenaga kerja serta latihan dan pensijilan.
Baki dana akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank serta menampung kos penyenaraian di Bursa Malaysia.
Malacca Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan IPO tersebut, manakala SCS Global Advisory pula bertindak sebagai penasihat kewangan korporat. - DagangNews.com







