KUALA LUMPUR 11 Jun — Kenaikan kos resin akibat harga minyak mentah yang kekal tinggi dilihat antara risiko terbesar yang boleh menjejaskan ketara keuntungan Scientex Berhad, menurut penganalisis.
Mereka berpandangan, situasi tersebut yang disebabkan ketidaktentuan geopolitik global turut boleh memberi kesan ke atas permintaan produk pembungkusan kumpulan berkenaan dalam tempoh terdekat.
Bagaimanapun, dua firma penyelidikan berpendapat yang prestasi syarikat itu masih lagi berada pada landasan kukuh untuk terus mencatatkan pertumbuhan pendapatan pada tahun kewangan 2026 (FY26).
"Kami turut mengekalkan saranan 'beli' ke atas Scientex dengan harga sasaran (TP) RM4.82 sesaham selepas keputusan suku ketiga FY26 memenuhi jangkaan pasaran," kata TA Securities dalam notanya.
Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan teras selama sembilan bulan pertama FY26 naik 10.1% tahun ke tahun (YoY) kepada RM424.5 juta, iaitu 73% daripada unjuran penuh tahun kewangan semasa.
Menurutnya, prestasi kukuh segmen pembuatan menjadi pemacu utama pertumbuhan dengan keuntungan operasi bagi suku ketiga naik dua kali ganda kepada RM73.2 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan itu didorong jualan lebih tinggi, campuran produk semakin menguntungkan serta strategi harga secara berkesan, sekali gus ujar TA Securities meningkatkan margin Scientex kepada 11.6%.
"Sementara itu, segmen hartanah mencatatkan penurunan perolehan kasar sebanyak 9.4% YoY kepada RM129.5 juta berikutan beberapa pelancaran projek baharu ditunda ke suku keempat FY26," katanya.
Namun, ia berpandangan segmen itu kekal berdaya tahan dengan hasil terkumpul meningkat 1.8% kepada RM429.8 juta susulan kadar ambilan yang memberangsangkan dan kemajuan pembinaan projek sedia ada.
Firma itu turut menekankan pelancaran pelbagai projek bernilai RM2.1 bilion pada separuh kedua FY26 dan jualan belum dibilkan RM2 bilion akan memberikan keterlihatan pendapatan kukuh Scientex.

Artikel berkaitan: Untung bersih Scientex meningkat 14.8% disokong prestasi kukuh segmen pembungkusan
Dalam pada itu, RHB Research pula mengekalkan saranan 'neutral' dengan TP tidak berubah RM3.60 sesaham, walaupun mengakui keputusan kewangan sembilan bulan FY26 adalah selaras dengan jangkaan.
"Untung bersih 9MFY26 naik 10% kepada RM425 juta, dan kedudukan kewangan kekal terkawal dengan nisbah hutang bersih 0.46 kali selepas pelaksanaan pengurangan modal terpilih (SCR)," katanya.
Jelasnya, segmen pembungkusan Scientex menunjukkan peningkatan ketara apabila hasil kasar melonjak kira-kira 58% dipacu campuran jualan yang lebih baik dengan kecekapan operasi semakin meningkat.
RHB Research bagaimanapun kekal berhati-hati terhadap risiko kenaikan kos resin berikutan harga minyak mentah pada ketika ini berada dalam lingkungan AS$90 (RM366) hingga AS$100 (RM406) setong.
Walaupun kumpulan itu berupaya memindahkan sebahagian kos kepada pelanggan, kesan akibat kelewatan pelarasan harga berpotensi menyebabkan tekanan terhadap margin keuntungan dalam jangka pendek.
"Dalam segmen hartanah, kami melihat prospek kekal positif melalui pembangunan perbandaran baharu di Melaka, Kedah dan Selangor dijadual dilancarkan Scientex menjelang suku keempat FY26," katanya.
Kesemua projek berkenaan tambah RHB Research, dijangka dapat menyumbang nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM600 juta hingga RM700 juta, termasuk fasa pertama projek kumpulan di Muar, Johor.
Ia berpandangan syarikat itu akan terus disokong oleh kemajuan projek hartanah dan pemulihan beransur-ansur permintaan pembungkusan, namun ada faktor luaran perlu diberi perhatian. - DagangNews.com







