Gangguan operasi penerbangan: CAAM ingatkan AirBorneo pematuhan hak pengguna di bawah kod perlindungan sedia ada | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gangguan operasi penerbangan: CAAM ingatkan AirBorneo pematuhan hak pengguna di bawah kod perlindungan sedia ada

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 11 Jun – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia(CAAM) mengingatkan AirBorneo supaya mematuhi sepenuhnya tanggungjawab terhadap pengguna di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) di sebalik gangguan operasi penerbangan itu di Sabah dan Sarawak.


Menurut pengawal selia industri penerbangan itu, walaupun keselamatan kekal sebagai keutamaan tertinggi dalam operasi penerbangan, hak dan kebajikan penumpang yang terjejas perlu terus diberi perhatian selaras dengan peruntukan perlindungan pengguna yang berkuat kuasa.

 

“AirBorneo diingatkan supaya mengambil semua langkah munasabah bagi meminimumkan kesulitan kepada pengguna yang terjejas dan memastikan pematuhan terhadap obligasi di bawah MACPC sambil mengekalkan standard keselamatan operasi yang tertinggi,” katanya.

 

CAAM berkata, di bawah MACPC, syarikat penerbangan diwajibkan menyediakan maklumat yang tepat dan terkini berkaitan kelewatan, pembatalan atau perubahan jadual penerbangan, termasuk punca gangguan serta pilihan yang tersedia kepada penumpang.

 

Tambahnya, bergantung kepada jenis dan tempoh gangguan, pengguna mungkin layak menerima bantuan seperti makanan, kemudahan komunikasi, penginapan, pengangkutan, penerbangan alternatif ke destinasi akhir atau bayaran balik mengikut peruntukan yang ditetapkan.

 

Sehubungan itu, penumpang yang terjejas dinasihatkan menyemak status terkini penerbangan sebelum ke lapangan terbang dan menghubungi AirBorneo bagi mendapatkan maklumat lanjut serta bantuan yang diperlukan.

 

CAAM turut menggalakkan pengguna yang terkesan untuk mendapatkan penyelesaian secara terus dengan syarikat penerbangan tersebut melalui saluran khidmat pelanggan rasmi.

 

“Syarikat penerbangan dikehendaki menangani kebimbangan pengguna dengan segera dan memberikan panduan yang jelas mengenai pilihan penyelesaian serta tindakan susulan yang boleh diambil,” katanya.

 

Bagi pengguna yang masih tidak berpuas hati atau gagal menyelesaikan isu dengan syarikat penerbangan, aduan boleh dikemukakan kepada CAAM melalui platform FlySmart, borang aduan dalam talian, e-mel atau talian hotline pengguna.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin sebelum ini berkata, gangguan penerbangan yang berlaku berpunca daripada beberapa pesawat yang tidak dapat beroperasi serentak akibat penyelenggaraan berjadual dan kerja-kerja pembaikan teknikal.

 

Beliau berkata, syarikat sedang berusaha secara berterusan bagi memulihkan operasi ke tahap normal dan mengurangkan sebarang gangguan lanjut kepada penumpang.

 

CAAM menegaskan pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai tahap pematuhan AirBorneo terhadap keperluan perlindungan pengguna yang ditetapkan di bawah MACPC. - DagangNews.com