Rohas Tecnic raih kontrak kedua TNB bernilai RM42.4 juta kerja gentian optik dalam tempoh dua hari | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Rohas Tecnic raih kontrak kedua TNB bernilai RM42.4 juta kerja gentian optik dalam tempoh dua hari

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Jun – Rohas Tecnic Bhd terus mencatat perkembangan positif apabila anak syarikatnya meraih kontrak kedua daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) dalam tempoh dua hari dengan nilai terbaharu sebanyak RM42.4 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata kontrak tersebut dianugerahkan kepada anak syarikat milik 86.8%, HG Power Transmission Sdn Bhd.

 

“Kontrak berkenaan melibatkan bekalan dan perkhidmatan kabel gentian optik bagi infrastruktur voltan tinggi milik TNB.

 

“Kontrak tersebut pada asalnya telah dianugerahkan pada Ogos 2025 namun hanya berkuat kuasa sepenuhnya selepas pelaksanaan surat tambahan (letter of addendum) bertarikh 5 Jun 2026,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Pelaksanaan surat tambahan itu dibuat bagi menyelesaikan isu pentadbiran yang masih tertunggak, khususnya berkaitan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

 

Dengan keputusan itu, kontrak berkenaan kini dianggap berkuat kuasa secara retroaktif (retrospective basis) bermula 27 Ogos 2025.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Rohas Tecnic peroleh kontrak TNB bernilai RM50.35 juta bagi pembekalan dan perkhidmatan fiber optik di Johor

 

Tempoh kontrak tersebut adalah selama 1,095 hari atau kira-kira tiga tahun, selaras dengan terma yang dipersetujui antara pihak-pihak terlibat.

 

Rohas berkata kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 hingga 31 Disember 2028.

 

Kontrak terbaharu ini hadir hanya dua hari selepas HG Power Transmission Sdn Bhd memperoleh satu lagi kontrak daripada TNB bernilai RM50.3 juta.

 

Kontrak sebelum ini turut melibatkan bekalan dan perkhidmatan gentian optik bagi infrastruktur voltan tinggi TNB di bawah bahagian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), meliputi kawasan Johor Selatan dan Johor Utara.

 

Secara keseluruhan, kedua-dua kontrak yang diperoleh dalam tempoh dua hari itu menjadikan jumlah nilai gabungan sebanyak RM92.7 juta.

 

HG Power Transmission Sdn Bhd merupakan syarikat yang terlibat dalam pemasangan talian penghantaran elektrik serta perkhidmatan berkaitan infrastruktur tenaga dengan operasi di Malaysia, Bangladesh dan Nepal. - DagangNews.com