KUALA LUMPUR 8 Jun - Rohas Tecnic Berhad (Rohas) menerusi anak syarikatnya, HG Power Transmission Sdn. Bhd. (HGPT), memperoleh kontrak bernilai RM50.35 juta daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi kerja-kerja pembekalan dan perkhidmatan fiber optik di infrastruktur voltan tinggi utiliti nasional itu di Johor.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Rohas berkata HGPT yang dimiliki 86.8% oleh kumpulan telah pada 5 Jun 2026 menerima secara rasmi Surat Anugerah (LOA) yang dikeluarkan TNB selepas semua urusan pentadbiran berkaitan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dimuktamadkan menerusi pelaksanaan Surat Tambahan (Letter of Addendum).
Kontrak tersebut melibatkan kerja-kerja pembekalan dan perkhidmatan fiber optik bagi infrastruktur voltan tinggi TNB untuk Bahagian ICT meliputi Mainhead A (Johor Selatan) dan Mainhead B2 (Johor Utara).
Menurut syarikat itu, Surat Anugerah asal telah dikeluarkan pada 27 Ogos 2025, namun pelaksanaan kontrak hanya dapat dimuktamadkan selepas penyelesaian perkara berkaitan mekanisme SST.
"Melalui Surat Tambahan yang telah ditandatangani, kontrak tersebut kini berkuat kuasa secara retrospektif bermula dari tarikh asal Surat Anugerah iaitu 27 Ogos 2025," katanya.
Kontrak itu mempunyai tempoh pelaksanaan selama 1,278 hari dan bernilai RM50,347,211.89, termasuk SST.
Rohas berkata, kontrak berkenaan tertakluk kepada risiko lazim yang berkaitan dengan projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), termasuk turun naik harga bahan mentah.
Bagaimanapun, syarikat yakin risiko tersebut dapat dikurangkan berdasarkan pengalaman dan kepakaran HGPT dalam melaksanakan projek-projek penghantaran tenaga dan infrastruktur utiliti yang serupa.
Dari sudut kewangan, kontrak tersebut tidak memberi sebarang kesan terhadap modal saham atau pegangan saham pemegang saham utama Rohas memandangkan ia tidak melibatkan penerbitan saham baharu.
Sebaliknya, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, 2027 dan 2028.
"Kontrak ini juga dijangka memberi impak positif kepada pendapatan sesaham dan aset bersih sesaham kumpulan," katanya.
HGPT merupakan syarikat kontraktor yang terlibat dalam pemasangan talian penghantaran elektrik dan penyediaan perkhidmatan berkaitan dengan operasi utama di Malaysia serta kehadiran di Bangladesh dan Nepal.
Penganugerahan kontrak baharu itu mengukuhkan lagi kedudukan Rohas dalam segmen infrastruktur tenaga dan telekomunikasi, selain memperluaskan keterlibatannya dalam projek-projek berkaitan transformasi digital dan rangkaian utiliti TNB. - DagangNews.com








