KUALA LUMPUR 11 Jun - Persatuan Pekebun Kelapa Sawit Dayak Sarawak (Doppa) menegaskan pendekatan ‘satu penyelesaian untuk semua’ dalam penstrukturan semula bayaran Pendekatan Transformasi Pekerja Asing (FWTA) tidak adil bagi pekebun kecil.
Sebaliknya Presiden Doppa, Dr. Napolean R. Ningkos berkata, penyelesaian bersasar lebih praktikal untuk mengurangkan tekanan kewangan serta memastikan kelangsungan ekonomi luar bandar Sarawak.
Katanya, bayaran yang dikenakan di bawah kontrak perkongsian awam-swasta (PPP) itu tidak mampan bagi pekebun kecil kelapa sawit bebas yang kini berdepan peningkatan kos racun rumpai, baja, diesel serta pembayaran SST yang lebih tinggi susulan kenaikan harga minyak sawit mentah (CPO).
Sehubungan itu beliau berharap kerajaan negeri segera menangani isu itu yang kini menjadi beban amat berat kepada pekebun kecil akibat bayaran FWTA sebanyak RM1,854, tidak termasuk Cukai Jualan Negeri (SST).
“Kami mengiktiraf semakan dan rundingan yang sedang dijalankan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala.
"Namun, kami menegaskan bahawa pendekatan ‘satu penyelesaian untuk semua’ dalam penstrukturan semula bayaran ini tidak memadai bagi pekebun kecil," katanya dalam satu kenyataan.
Napolean mengulas kenyataan Gerawat bahawa kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan sebelum membuat keputusan berhubung semakan mekanisme bayaran FWTA.
Diskaun Khas, Bayaran Berperingkat
Untuk tindakan segera, Napolean mencadangkan pengenalan pengecualian atau diskaun khas bagi kategori pekebun kecil.
“Doppa mencadangkan struktur bayaran berperingkat di mana pekebun kecil bebas berdaftar yang memiliki kurang daripada 40 hektar atau 100 ekar tanah diberikan pengecualian atau konsesi sebanyak 50 peratus,” katanya.
Menurut beliau, langkah itu mengiktiraf kesan tidak seimbang bayaran FWTA terhadap pekebun kecil yang tidak menikmati kecekapan sistem pada skala yang sama seperti syarikat perladangan besar.
Memandangkan pekebun kecil menyumbang secara signifikan kepada hasil negeri melalui SST lima peratus ke atas minyak sawit mentah (CPO) dan minyak isirung sawit (PKO), Napolean turut mencadangkan sebahagian daripada hasil cukai tersebut digunakan untuk mensubsidi bayaran FWTA bagi golongan berkenaan.
“Dengan memanfaatkan sumber sedia ada ini, kerajaan dapat mengekalkan kontrak PPP sambil memberikan sokongan penting kepada pekebun kecil yang terdedah kepada tekanan kewangan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan pelan pembayaran secara ansuran tertangguh.
“Bayaran FWTA yang perlu dibayar secara sekali gus menjadi halangan besar terhadap aliran tunai pekebun kecil. Kami mencadangkan agar bayaran tersebut dibenarkan dibuat secara ansuran kecil tanpa faedah sepanjang 12 bulan pertama tempoh pekerjaan.
“Pendekatan ini membolehkan pembayaran diselaraskan dengan hasil yang dijana oleh pekerja baharu, sekali gus mengurangkan beban kewangan pekebun kecil,” jelasnya. - DagangNews.com







