KUALA LUMPUR 11 Jun – Zon Kewangan Khas, Forest City dijangka melepasi sasaran pelaburan sebanyak RM2 bilion pada tahun ini susulan sambutan menggalakkan sejak ia diperkenalkan sebagai pusat kewangan baharu di Johor.
Setakat ini, zon tersebut telah menerima sebanyak 260 pertanyaan kumulatif daripada pelabur melalui Pusat Pemudahcara Pelaburan Malaysia Johor, dengan 48 pertanyaan direkodkan bagi tempoh tahun ini (setakat April).
Pertanyaan pelabur itu melibatkan sektor perkhidmatan kewangan, perkhidmatan perniagaan serta segmen pejabat keluarga dengan kira-kira 50% daripadanya datang daripada pasaran dalam negara.
Kebanyakan pelabur kini mengambil pendekatan jangka sederhana dan jangka panjang memandangkan saiz projek serta kedudukan strategik Forest City dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor, Natazha Harris berkata beberapa syarikat kini berada pada peringkat rundingan lanjut serta kajian kebolehlaksanaan dengan nilai potensi pelaburan yang dianggarkan mencecah beberapa bilion ringgit.
Beliau berkata potensi pelaburan itu melibatkan sektor seperti perkhidmatan kewangan, ekonomi berasaskan teknologi maklumat, teknologi hijau serta perkhidmatan bernilai tinggi.
“Terdapat juga minat kukuh dalam sektor kecerdasan buatan, perniagaan berasaskan maklumat, pengurusan kekayaan serta pusat operasi serantau.
“Selain itu, bidang seperti teknologi kewangan, pengurusan kekayaan, perkhidmatan perniagaan serantau dan teknologi bandar pintar turut menunjukkan peningkatan minat dalam kalangan pelabur antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Natazha berkata sektor tenaga boleh diperbaharui, pengurusan karbon serta pembangunan bandar mampan juga semakin mendapat perhatian seiring peningkatan penekanan pelabur global terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus.
Beliau berkata pelabur tertarik dengan kelebihan Forest City yang terletak berhampiran Singapura, kos operasi yang lebih rendah serta keupayaan memanfaatkan kedudukan Malaysia dalam ekosistem kewangan dan teknologi serantau yang sedang berkembang.
Menurutnya lagi, pelabur kini melihat Forest City bukan lagi sekadar projek hartanah, sebaliknya sebagai sebahagian daripada rangka kerja ekonomi strategik yang lebih besar.
"Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Johor turut memperkukuh keyakinan pelabur melalui pelaksanaan insentif, mekanisme pemudah cara serta pengukuhan kerjasama ekonomi Malaysia-Singapura.
"Walaupun masih terdapat cabaran, perubahan naratif daripada pembangunan berasaskan hartanah kepada pusat kewangan dan ekonomi berasaskan teknologi masa depan semakin mendapat perhatian positif dalam kalangan pelabur dan pemain industri," katanya.
Dalam masa sama, Invest Johor menegaskan Forest City tidak bertujuan untuk bersaing secara langsung dengan pusat kewangan lain seperti Singapura, Dubai atau Hong Kong, sebaliknya berfungsi sebagai pusat pelengkap di rantau ini.
Forest City Zon Kewangan Khas kini diposisikan untuk menyokong syarikat yang memerlukan ruang pengembangan operasi, pusat operasi serantau serta peluang dalam ekonomi teknologi yang sedang berkembang pesat di Asia Tenggara. - DagangNews.com







