KUALA LUMPUR 11 Jun — Industri penerbangan antarabangsa masih berdepan tekanan apabila konflik yang berpanjangan di rantau Timur Tengah terus mengganggu rantaian bekalan bahan api pesawat.
Menurut Public Investment Bank (PublicInvest), situasi itu sekali gus meningkatkan kos operasi dan menghakis keuntungan syarikat penerbangan walaupun permintaan perjalanan udara masih berkembang.
Sehubungan itu, ia menurunkan penarafan sektor penerbangan kepada 'neutral' daripada 'overweight', susulan risiko berterusan terhadap harga bahan api, dan pertumbuhan ekonomi global yang perlahan.
"Konflik yang berlarutan jauh lebih lama 100 hari daripada jangkaan awal mencetuskan kejutan kos kepada industri apabila harga bahan api jet kekal tinggi," kata firma itu dalam nota analisis.
Jelas PublicInvest, harganya berlegar pada lingkungan AS$130 (RM529) hingga AS$150 (RM610) setong, meskipun sudah menyusut daripada kemuncak melebihi AS$230 (RM936) setong pada Mac 2026 lalu.
Bagaimanapun ujarnya, paras tersebut sebenarnya, adalah masih jauh lebih tinggi berbanding harga purata hanya mencecah sekitar AS$90 (RM366) setong yang pernah dicatatkan sepanjang tahun lepas.
Keadaan jelasnya, menjadi lebih mencabar apabila Selat Hormuz yang mengendalikan kira-kira 25% penghantaran bahan api jet global melalui laluan kapal laut kini berdepan risiko gangguan bekalan.

"Perkembangan tersebut sekali gus meningkatkan persaingan antara syarikat bagi mendapatkan bekalan dan kemungkinan berlakunya kekurangan bahan api di sesetengah pasaran," kata PublicInvest.
Pada masa sama tambahnya, konflik geopolitik yang berpanjangan turut meningkatkan risiko stagflasi global apabila inflasi kekal tinggi dalam keadaan pertumbuhan ekonomi dunia pula semakin perlahan.
Firma itu menjangka pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global merosot kepada 2.5% pada 2026 berbanding 3% sebelum ini, dengan prospek mencabar jika gangguan berterusan sehingga 2027.
Permintaan perjalanan udara kata PublicInvest, namun masih menunjukkan daya tahan apabila pengguna terus melakukan penerbangan meskipun berdepan tambang tinggi akibat isu pemindahan kos operasi.
"Data trafik udara global terkini juga tiada menunjukkan kemerosotan, dengan trafik penumpang di Asia Pasifik dijangka 5.1% pada 2026 walaupun agak perlahan berbanding 7.7% pada 2025," katanya.
Firma itu bagaimanapun memberi amaran yang keuntungan syarikat penerbangan akan terus tertekan kerana keupayaan untuk memindahkan sepenuhnya kenaikan kos kepada pengguna adalah amat terhad.
Kata PublicInvest, margin keuntungan bersih industri dijangka susut kepada 2.3% berbanding 3.3% sebelum ini, menjadikan sektor tersebut lebih terdedah kepada sebarang gangguan selanjutnya.
Walaupun syarikat penerbangan dijangka kekal mencatat keuntungan, tekanan kos bahan api akan terus menjejaskan margin keuntungan sektor ini dalam tempoh terdekat," katanya. - DagangNews.com







