Pemegang saham APM Automotive bantah urus niaga RM265 juta dengan Tan Chong, Warisan TC di AGM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemegang saham APM Automotive bantah urus niaga RM265 juta dengan Tan Chong, Warisan TC di AGM

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Jun – Pemegang saham APM Automotive Holdings Bhd menolak dua cadangan mandat bagi urus niaga berulang dengan pihak berkaitan (RRPT) bernilai lebih RM265 juta yang melibatkan kumpulan Tan Chong Motor Holdings Bhd dan Warisan TC Holdings Bhd dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) yang berlangsung pada 10 Jun 2026.

 

Penolakan itu dibuat selepas kedua-dua cadangan berkenaan gagal memperoleh sokongan majoriti dengan RRPT bersama Tan Chong Motor mencatat 75.19 peratus undi menolak manakala cadangan melibatkan Warisan TC turut ditolak dengan 75.22 peratus undi tidak menyokong.

 

Berdasarkan makluman kepada Bursa Malaysia, RRPT dengan Tan Chong Motor Holdings Bhd itu berjumlah kira-kira RM97.5 juta merangkumi jualan komponen dan alat ganti bernilai RM60 juta oleh anak syarikat APM kepada entiti kumpulan tersebut.

 

Ia turut melibatkan sewaan pejabat dan kilang di Kawasan Perusahaan Seri Kembangan, Selangor bernilai RM3 juta, pembelian produk insurans berjumlah RM10 juta melalui kumpulan Tan Chong Motor serta pembelian barangan dan perkhidmatan sekitar RM20 juta.

 

Sementara itu, RRPT bersama Warisan TC Holdings Bhd adalah lebih besar dengan nilai keseluruhan RM167.7 juta, melibatkan jualan komponen dan alat ganti bernilai RM160 juta antara anak syarikat APM dan entiti kumpulan tersebut.

 

Selain itu, urus niaga berkenaan turut merangkumi transaksi sewaan serta penggunaan dan penyewaan peralatan jentera berat antara kedua-dua kumpulan syarikat.

 

Walaupun ditolak, APM berkata RRPT tersebut dijangka memberi manfaat jangka panjang kepada kumpulan, termasuk kestabilan permintaan daripada pelanggan sedia ada.

 

“Pihak berkaitan menawarkan rekod pembayaran yang baik serta menyediakan sumber pasaran yang konsisten untuk produk APM.

 

“Urus niaga ini membantu meningkatkan jumlah jualan keseluruhan, kecekapan pengeluaran serta daya saing kumpulan dalam industri automotif.

 

“Semua urus niaga dijalankan secara bebas dan pada terma komersial biasa, tanpa memberikan kelebihan kepada mana-mana pihak berkepentingan,” katanya.

 

Dalam masa sama, lembaga pengarah (tidak termasuk pengarah berkepentingan) berpendapat RRPT tersebut adalah selaras dengan kepentingan kumpulan APM dan dilaksanakan secara telus.

 

Antara pihak berkepentingan yang terlibat termasuk Datuk Tan Heng Chew, Datuk Tan Eng Hwa, Nicholas Tan Chye Seng serta Tan Chong Consolidated Sdn Bhd, yang mempunyai pegangan dalam kedua-dua APM dan kumpulan Tan Chong Motor.

 

Struktur pegangan menunjukkan Tan Chong Consolidated Sdn Bhd memegang 37.54 peratus dalam APM dan 40.49 peratus dalam Tan Chong Motor, menjadikan urus niaga tersebut dikategorikan sebagai transaksi pihak berkaitan yang signifikan.

 

Dalam pada itu, satu resolusi berasingan melibatkan urus niaga bernilai RM5.4 juta dengan Tan Chong International Ltd diluluskan oleh pemegang saham dengan 81.58 peratus undian menyokong, merangkumi jualan komponen serta perkhidmatan kejuruteraan, reka bentuk dan pembangunan. - DagangNews.com