KUALA LUMPUR 11 Jun - Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat) Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM32.10 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, sekali gus membolehkannya mengekalkan agihan dividen pada kadar 10% kepada anggotanya.
Pengekalan kadar dividen dua angka itu merupakan tahun kelima berturut-turut koperasi berkenaan berjaya memberikan pulangan yang konsisten kepada anggotanya, membabitkan jumlah agihan keseluruhan sebanyak RM12.7 juta.
Agihan tersebut dijangka memberi manfaat kepada 466,725 anggota di seluruh negara.
Pengerusi Lembaga Koop Sahabat, Mohd Najib Mohd Noor berkata, prestasi kewangan yang kukuh itu didorong oleh peningkatan ketara dalam perolehan kumpulan yang melonjak 46% kepada RM153.59 juta berbanding RM104.84 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata, pertumbuhan tersebut disumbangkan terutamanya oleh prestasi memberangsangkan segmen perniagaan Sahabat Ar Rahnu yang mencatatkan peningkatan sebanyak 85%.
“Perolehan Sahabat Ar Rahnu meningkat kepada RM68.49 juta berbanding RM37.05 juta pada tahun sebelumnya, sekali gus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan kumpulan,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) Kali Ke-13 baru-baru ini.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal.
Sebagai menghargai sokongan pelanggan dan meraikan pertumbuhan perniagaan Ar Rahnu, Koop Sahabat turut melancarkan Kempen Kembara Emas Sahabat Ar Rahnu 2026 yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM60,000.
Kempen berkenaan berlangsung dari 1 Jun hingga 31 Disember 2026 dan dijangka menjadi antara inisiatif bagi mengukuhkan lagi hubungan koperasi dengan pelanggan serta meningkatkan penggunaan perkhidmatannya.
Dalam pada itu, pencapaian Koop Sahabat turut diperkukuh apabila dinobatkan sebagai Koperasi Kelima Terbaik di Malaysia bagi tahun 2025 oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
Koperasi itu juga menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat antarabangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara koperasi berprestasi tinggi di negara ini.
Mengulas prospek masa depan, Mohd Najib berkata, Koop Sahabat akan terus memperkukuh perniagaan sedia ada selain meneroka peluang pelaburan baharu yang berimpak tinggi bagi meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi anggota.
“Koop Sahabat komited untuk mengekalkan momentum pertumbuhan dan prestasi kewangan yang mampan bagi memastikan pulangan yang kompetitif kepada anggota pada masa hadapan,” katanya. - DagangNews.com








