KUALA LUMPUR 16 Feb - Pelabur asing terus membeli ekuiti di Bursa Malaysia untuk minggu keenam berturut-turut, dengan aliran masuk bersih sebanyak RM377.2 juta, menurut MBSB Research.
Mereka menjadi pembeli bersih terbesar pada Rabu (RM281.7 juta), diikuti Isnin (RM135.8 juta), Khamis (RM100.4 juta) dan Selasa (RM37.3 juta), manakala hanya Jumaat dengan aliran keluar RM178.4 juta.
"Tiga sektor menyaksikan aliran masuk bersih asing iaitu perkhidmatan kewangan (RM195.5 juta), pengangkutan dan logistik (RM64.7 juta) serta pembinaan (RM58.0 juta)," katanya dalam nota hari ini.
Sementara tiga sektor utama lain pula jelasnya, mengalami aliran keluar bersih asing tertinggi iaitu penjagaan kesihatan (RM38.2 juta), teknologi (RM28.6 juta) dan perladangan (RM16.2 juta).
Firma penyelidikan tersebut berkata, institusi tempatan masih mencatatkan aliran keluar bersih iaitu sebanyak RM211.5 juta, secara berterusan untuk tempoh dua minggu yang berturut-turut.
Bagaimanapun kata MBSB Research, pada masa sama, pelabur runcit tempatan kembali menjadi penjual bersih setelah seminggu sebagai pembeli, apabila mencatat jumlah aliran keluar RM165.7 juta.
Purata jumlah dagangan harian (ADTV) adalah menyusut dengan peruncit tempatan merosot 11.1%, manakala institusi tempatan dan pelabur asing masing-masing jatuh 21.7% dan 4.2%. - DagangNews.com








