KUALA LUMPUR 9 Julai – Pan Merchant Bhd memperoleh kontrak bernilai RM17 juta untuk membekalkan sistem penapisan industri kepada sektor pemprosesan makanan di Malaysia, melibatkan teknologi yang membantu proses pemisahan dan pembersihan bahan cecair.
Kontrak tersebut diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, PMI-Technology Sdn Bhd daripada sebuah syarikat yang hanya dikenali sebagai Company A berikutan perjanjian kerahsiaan komersial antara kedua-dua pihak.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Pan Merchant berkata Company A adalah sebuah syarikat yang diperbadankan di Malaysia dan terlibat dalam bidang reka bentuk kejuruteraan serta teknologi proses.
“Skop kerja bagi kontrak berkenaan merangkumi pembekalan, penghantaran dan penyeliaan kerja pemasangan, pengujian serta pentauliahan sistem penapisan untuk kegunaan industri pemprosesan makanan.
“Sistem yang dibekalkan itu menggunakan teknologi penapisan membran iaitu kaedah penapisan yang menggunakan lapisan khas untuk memisahkan bahan tertentu daripada cecair bagi membantu menghasilkan proses pengeluaran yang lebih cekap dan terkawal,” katanya.
Kerja-kerja bagi kontrak berkenaan dijangka disiapkan dalam tempoh 12 bulan, sekali gus memberikan sumbangan tambahan kepada prestasi kewangan kumpulan pada tahun akan datang.
Pengarah Urusan Pan Merchant, Wong Voon Ten berkata, kontrak itu meningkatkan lagi kehadiran kumpulan dalam sektor perindustrian tempatan selain memberikan gambaran pendapatan yang lebih jelas bagi tempoh akan datang.
"Kami kekal komited untuk menyokong pelanggan dengan teknologi penapisan inovatif sambil meneroka peluang baharu dalam sektor industri dan proses," katanya dalam satu kenyataan.
Kontrak terbaharu itu menyusuli kejayaan Pan Merchant memperoleh kontrak bernilai RM26.49 juta sebagai pembekal dilantik bagi Skim Bekalan Air Sungai Rasau (Peringkat 1) di Selangor yang diumumkan pada 3 Jun lalu.
Pan Merchant berkata, kedua-dua projek tersebut mencerminkan keupayaan kumpulan dalam menyediakan penyelesaian penapisan pepejal-cecair untuk pelbagai kegunaan termasuk sektor industri makanan dan infrastruktur bekalan air. - DagangNews.com








